
PETALING JAYA: Tindakan pihak bank yang didakwa menggunakan ejen kutipan hutang dengan mengugut dan memalukan penghutang dilihat menekan pengguna khususnya berpendapatan rendah.
Amalan itu juga bercanggah dengan prinsip perlindungan pengguna dan boleh melanggar peruntukan undang-undang sedia ada.
Naib Presiden dan Penasihat Undang-Undang Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk T. Indrani berkata, kutipan hutang tidak pernah memberi lesen kepada mana-mana pihak untuk mengugut, mengaibkan atau menakut-nakutkan pengguna serta ahli keluarga mereka.
“Apabila pengutip hutang bertindak seperti ah long, ia bukan lagi isu tunggakan bayaran semata-mata sebaliknya melibatkan pelanggaran undang-undang dan hak asasi pengguna yang wajib dilindungi.
“Pihak kami menerima peningkatan aduan berkaitan pengutip hutang yang melampaui batas termasuk ugutan jenayah, gangguan psikologi berulang, penyebaran maklumat hutang kepada pihak ketiga serta tindakan mengancam di tempat tinggal penghutang.
“Perbuatan menghubungi ahli keluarga, jiran atau majikan untuk menekan penghutang, selain menggunakan mesej dan panggilan berunsur ugutan boleh disiasat di bawah peruntukan undang-undang termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, penghutang mempunyai hak untuk keselamatan, privasi dan komunikasi yang munasabah serta berhak menuntut pengesahan identiti dan kuasa ejen kutipan sebelum sebarang perbincangan dibuat.
Bank juga katanya, tidak boleh lepas tangan terhadap salah laku ejen kutipan hutang kerana institusi kewangan bertanggungjawab sepenuhnya memastikan ejen lantikan mematuhi garis panduan kutipan hutang yang adil dan beretika.
Indrani turut menggesa bank supaya memantau secara ketat ejen kutipan, menyiasat setiap aduan pengguna dan menghentikan segera penggunaan ejen yang terbukti melakukan intimidasi atau melanggar undang-undang.
Katanya, orang ramai berhak membuat laporan polis sekiranya berdepan ugutan atau ancaman keselamatan, selain mengemukakan aduan rasmi kepada bank dan saluran penyelesaian pertikaian seperti Bank Negara Malaysia Laman Informasi Nasihat dan Khidmat atau Ombudsman for Financial Services.
“Penguatkuasaan undang-undang yang tegas serta pelaksanaan piawaian kutipan hutang beretika amat penting bagi memastikan pengguna dilayan dengan maruah dan keadilan, bukannya ditekan melalui ugutan dan ketakutan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan juga mengakui terdapat sebahagian bank gagal mematuhi etika kutipan hutang apabila melantik ejen yang bertindak agresif seperti ah long.
Menurutnya, walaupun bank tertakluk kepada syarat dan pemantauan Bank Negara Malaysia, terdapat juga ejen kutipan yang mengejar penghutang siang dan malam termasuk menghubungi ahli keluarga serta hadir ke rumah.
“PPIM menerima banyak aduan berkaitan penarikan kenderaan secara tidak beretika, termasuk kes kenderaan ditarik di lebuh raya serta caj penarikan yang melampau tanpa kawalan jelas.
“Kelemahan penguatkuasaan menyebabkan pengguna takut mempertahankan hak mereka walaupun berdepan ugutan dan tekanan psikologi yang melanggar undang-undang.
“Kerajaan dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap bank serta ejen kutipan bagi memastikan sistem kutipan hutang dilaksanakan secara beretika dan berperikemanusiaan,” katanya.-UTUSAN.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
TINDAKAN BANK KUTIP HUTANG ALA AH LONG TEKAN PENGGUNA
https://www.utusan.com.my/berita/2026/01/tindakan-bank-kutip-hutang-ala-ah-long-tekan-pengguna/