Sambutan bulan Ramadan al-Mubarak disifatkan sebagai peluang terbaik untuk masyarakat kembali kepada fitrah kehidupan yang lebih sihat merangkumi aspek fizikal, mental dan spiritual. Melalui pengisian podcast Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini, ahli panel menekankan bahawa ibadah puasa bukan sekadar tuntutan agama, malah merupakan mekanisme sains yang hebat untuk merawat pelbagai penyakit kronik yang kini kian meningkat.
Menurut Prof Mustafa Ali, puasa mengaktifkan proses autofagi iaitu mekanisme pembersihan sel selepas tempoh berpuasa melebihi 12 jam. Amalan makan berlebihan serta pengambilan gula tinggi pula boleh meningkatkan paras insulin dan mencetuskan keradangan dalaman yang menjadi punca pelbagai penyakit kronik.
Panel turut menekankan kepentingan bersahur lebih awal, berhenti makan sebelum kenyang, serta meneruskan amalan berpuasa secara berkala selepas Ramadan bagi mengekalkan manfaat kesihatan. Selain itu, pemilihan makanan yang halalan tayyiban dan amalan spiritual seperti istighfar disifatkan sebagai kunci kesejahteraan menyeluruh.
Ramadan dilihat sebagai peluang untuk “reset” gaya hidup dengan menggabungkan disiplin puasa, prinsip pemakanan sihat dan kekuatan rohani demi mencapai kesihatan yang seimbang.


