
Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyeru tindakan tegas diambil terhadap pihak yang menyalahgunakan dana awam bagi mengembalikan keyakinan rakyat.
Rakyat mahu menyalurkan bantuan, tetapi penyalahgunaan oleh segelintir pihak menjejaskan imej Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan institusi bantuan lain.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, budaya salah guna dana kini menjadi isu serius dan memerlukan langkah pencegahan menyeluruh.
"Kita menghadapi masalah keyakinan, lepas tu pelaksanaan pun ada isu, tetapi yang paling penting ialah budaya ini sudah menjadi satu keadaan yang amat memalukan semua pihak, termasuk rakyat Malaysia.
"Contohnya sekarang ini, apabila kita nak menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir, rakyat mula bertanya-tanya dan ragu-ragu, dan masalah ini bukan hanya berlaku di NGO sahaja tetapi kebanyakan tempat juga.
"Keadaan ini menyebabkan keruntuhan keyakinan terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita dan kita perlu menangani isu ini dengan serius kerana ia bukan mudah," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Nadzim menyeru NGO dan masyarakat supaya menerapkan prinsip asas kejujuran dalam setiap tindakan mereka.
Katanya, setiap sen dana awam mesti digunakan secara telus dan berkat bagi mengelakkan penyelewengan.
"Pesanan saya, carilah yang berkat dan mesti menjadikan keberkatan itu sebagai pegangan dalam setiap tindakan mereka.
"Ini bukan sahaja terpakai untuk organisasi besar, malah untuk setiap individu yang terlibat dalam pengurusan dana supaya setiap tindakan dipantau dan bertanggungjawab," katanya.
Beliau menambah pendidikan integriti dan pemantauan berterusan perlu diterapkan sejak dari keluarga hingga ke NGO.
"Kalau kita buat tak baik, kita akan dapat tak baik. Percayalah, kita tak boleh lari," katanya.
Dalam pada itu, Nadzim menegaskan masyarakat dan pihak berkuasa perlu bertindak bersama bagi memastikan amalan integriti dan ketelusan dipatuhi.
Hari ini muka depan Harian Metro melaporkan, sekurang-kurangnya tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) 'popular' berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dikesan mengumpul 'harta haram' hasil kutipan dana jutaan ringgit.
Mendedahkan perkara itu secara eksklusif kepada Harian Metro, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, risikan dan siasatan sudah dilakukan pihaknya terhadap NGO berkenaan.
Beliau melahirkan rasa kecewa berikutan masih ada segelintir NGO yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dan mengumpul kekayaan melalui kutipan dana awam.
Artikel oleh: Harian Metro
HIDUP TAK BERKAT, JANGAN 'SONGLAP' DUIT SEDEKAH!
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/01/1309237/hidup-tak-berkat-jangan-songlap-duit-sedekah