
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) digesa menghapuskan sistem kadar tambang secara tawar-menawar dalam industri e-hailing.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, MOT juga harus mengawal kadar tambang e-hailing dengan menetapkan kadar tambang lantai demi memastikan keadilan kepada semua pihak dalam industri itu.
Katanya, PPIM mengakui sistem tambang tawar-menawar memberi kelebihan kepada pengguna, namun kebajikan dan kelangsungan pendapatan pemandu e-hailing tidak boleh diketepikan.
"Adalah amat mengelirukan dan tidak konsisten apabila perkhidmatan teksi dilarang menjalankan tawar-menawar tambang, tetapi perkhidmatan e-hailing pula boleh berbuat demikian walaupun Menteri Pengangkutan sendiri pernah menyatakan kementerian tidak pernah membenarkan sistem tambang tawar-menawar beroperasi di Malaysia.
"Justeru, MOT dan APAD seharusnya menggubal dasar yang lebih adil, seimbang dan menyeluruh kepada keseluruhan ekosistem industri gig sektor E-Hailing, merangkumi pengguna, pemandu serta syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO), tanpa menyebelahi mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan, hari ini.
PPIM berkata, isu penurunan kadar tambang kini menjadi semakin kritikal dan tidak terkawal sejak pelaksanaan sistem tambang bidding (secara tawar-menawar) di Malaysia, sehingga menekan pendapatan pemandu serta menjejaskan kelestarian industri bagi jangka panjang.
"PPIM menegaskan syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing seharusnya bersaing secara sihat melalui peningkatan kualiti perkhidmatan, bukannya melalui perang harga yang akhirnya menjadikan pemandu sebagai mangsa," katanya.
Pada 23 Disember lalu, APAD dalam kenyataan memaklumkan kerajaan tidak mengawal selia dasar tambang bagi perkhidmatan e-hailing dan penetapan kadar tambang ditentukan konsep permintaan dan penawaran.
Katanya, perkhidmatan e-hailing adalah satu perkhidmatan gig ekonomi yang bersifat pasaran terbuka dan operasi syarikat adalah berbeza-beza.
"Namun, menurut peraturan APAD iaitu syarat lesen perlu dipatuhi bahawa pemegang lesen perlu memastikan pemandu tidak tawar-menawar selepas berjaya mendapat tempahan, sebaliknya memberi perkhidmatan berdasarkan tempahan diterima," katanya.
Artikel oleh: Berita Harian
'HENTI SEGERA SISTEM KADAR TAMBANG SECARA TAWAR-MENAWAR DALAM INDUSTRI E-HAILING' - PPIM