
Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan menjalankan audit nasional dan siasatan menyeluruh terhadap kelab persendirian berlesen di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), susulan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Dalam kenyataan bersama Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), organisasi itu mendakwa terdapat lebih 300 premis mesin slot berlesen di seluruh negara, masing-masing dengan 20 hingga 30 mesin slot.
Katanya, kartel terbabit menggunakan modus operandi berpura-pura menggaji kakitangan seolah-olah di bawah kelab dan mengawal bilik mesin slot.
"Ahli kelab yang membangkitkan soalan semasa dan luar AGM (Mesyuarah Agung Tahunan) berkaitan dakwaan rasuah, salah guna kuasa, jurang dan percanggahan kewangan termasuk perakaunan dua lapis akan disasarkan melalui 'laporan insiden yang direka'.
"Jawatan keahlian dan disiplin diarahkan menubuhkan pasukan siasatan yang dipilih oleh pengerusi dan jawatankuasa disiplin atau individu yang didakwa kroni bagi membuat keputusan menjadikan mereka persona non-grata atau dipecat dari kelab.
"CCTV (kamera litar tertutup) dalaman digunakan untuk memantau pergerakan ahli yang disasarkan yang didakwa disambung ke telefon peribadi pengendali kelab dan pengerusi untuk pemantauan dari rumah," kata kenyataan itu, hari ini.
Menurut kenyataan itu, sekurang-kurangnya tujuh laporan polis dibuat oleh pihak terjejas.
"Satu dossier (dokumen) terperinci dan menyeluruh dihantar kepada ROS Kuala Lumpur pada 15 Disember tahun lalu dan ditandatangani lebih 19 ahli sebuah kelab.
"Ia mengandungi dakwaan berikut berserta bukti berkaitan transaksi kewangan tidak sah, perakaunan dua lapis, kebimbangan pengubahan wang haram termasuk salah guna kuasa oleh pengerusi dan ahli majlis," katanya.
Katanya, pendedahan dokumen berkaitan turut mendakwa kecurian lebih RM14,000 oleh seorang kakitangan tidak dilaporkan dalam AGM walaupun diketahui dan pelaku terus bekerja.
"Laporan akaun menunjukkan kelab (tuan tanah) berhutang RM1 juta kepada Bilik Mesin Slot (penyewa).
"Pada AGM kelab 2024–2025, peletakan jawatan juruaudit yang dilantik berlaku secara mengejut tanpa notis.
"Pada AGM Ogos 2025, walaupun dibantah ahli, pihak berkuasa meluluskan akaun kontroversi, dibantu ahli tajaan bilik mesin slot yang duduk sebagai ahli majlis," katanya.
Dalam pada itu, PPIM dan CASSA merayu supaya kelulusan baharu dihentikan serta lesen premis mesin slot ditarik balik bagi kelab yang terlibat dengan rasuah, pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan manipulasi akaun kewangan.
"Kerajaan digesa menyekat dan melarang orang Islam daripada memasuki bar kelab dan bilik mesin slot.
"Perlu ada rekod bebas keluar masuk ke bilik itu untuk pemeriksaan berkala pihak berkuasa," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro