15 Dec
15Dec

Pasukan pemanah berkuda junior Malaysia mencipta sejarah membanggakan apabila berjaya menggegarkan pentas dunia dengan merangkul kejuaraan Masahi Team Junior dan Masahi Team Open Division dalam kejohanan berprestij 2025 Global Horseback Archery Masters yang berlangsung dari 8 hingga 13 Disember di Shenzhen, China. 

Kejayaan luar biasa ini membuktikan keupayaan atlet muda negara untuk bersaing di peringkat antarabangsa, sekali gus menewaskan kuasa-kuasa besar dunia dalam sukan memanah berkuda.

Lebih membanggakan, kesemua wakil negara yang bertanding merupakan atlet daripada Team Kem Ladang Alam Warisan Sri Menanti, sebuah pusat latihan yang melahirkan bakat-bakat elit pemanah berkuda tanah air, dipelopori oleh Saudara Akmal Dahlan, bekas Juara Dunia Pemanah Berkuda, yang turut berperanan besar dalam membimbing dan membentuk disiplin serta mental juara dalam kalangan atlet muda negara.

Skuad junior negara mempamerkan tahap ketahanan dan disiplin yang tinggi apabila beraksi tanpa henti dari pagi hingga ke petang. Mereka bermula dengan kategori junior pada sebelah pagi, sebelum meneruskan saingan dalam kategori terbuka pada sebelah petang — berhadapan secara langsung dengan pemanah dewasa dan berpengalaman.

Namun, keletihan langsung tidak mematahkan semangat juang pasukan negara. Malaysia tampil konsisten dan berani, menewaskan pasukan handalan dari Mongolia, Korea, Kazakhstan, malah berjaya menumpaskan China selaku tuan rumah, yang terkenal dengan kekuatan teknikal dan taktikal mereka.

Dalam saingan Junior Division, atlet negara mencatat pencapaian cemerlang.  Bagi Hungarian Format, Abdurrahman meraih pingat perak, manakala Muhammad membawa pulang pingat gangsa.

Dalam Serial Format, Abu Bakr merangkul pingat emas dan Muhammad sekali lagi membuktikan keupayaannya dengan pingat perak.

Sementara itu, dalam acara Masahi Team Junior, Malaysia muncul sebagai juara dengan memenangi pingat emas.

Kejayaan diteruskan dalam Open Division, apabila Abdurrahman memenangi pingat perak bagi Hungarian Format, Abu Bakr meraih pingat gangsa dalam Serial Format dan Malaysia Team B dinobatkan juara Masahi Team Open Division dengan pingat emas.

Kemuncak kejohanan menyaksikan atlet negara, Abu Bakr, dinobatkan sebagai penerima Best Performance Award Overall — satu pengiktirafan tertinggi kepada atlet paling konsisten dan cemerlang sepanjang kejohanan.

Kejayaan ini disambut dengan penuh rasa syukur dan rendah hati oleh seluruh pasukan. Ia bukan sekadar kemenangan di gelanggang, malah menjadi bukti bahawa sunnah memanah, apabila digabungkan dengan disiplin, latihan berterusan dan doa, mampu mengangkat nama negara di persada antarabangsa — termasuk di China, di mana sukan ini semakin mendapat perhatian dunia.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia, PPIM, merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan rasa bangga atas pencapaian luar biasa ini. Kejayaan anak-anak Melayu ini menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk berani bermimpi, berusaha bersungguh-sungguh, serta membawa nilai Islam dan budaya bangsa ke peringkat global.

Comments
* The email will not be published on the website.