Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ingin merakamkan perasaan marah dan tidak berpuas hati dengan tindakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan yang membiarkan arak dihidangkan secara bebas di suatu majlis rasmi Kementerian itu.
“Saya cadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera memecat Tiong King Sing sebagai Menterinya kerana telah melampaui batas dan budaya negara ini!” tegas Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi
Tambah Nadzim lagi, King Sing seolah-olah tidak langsung peka dengan kedudukan agama Islam di negara ini sebagai agama bagi persekutuan dan membiarkan perkara ini berlarutan di majlis Global Travel Meet yang diadakan di sebuah hotel terkenal baru-baru ini.
Beliau juga harus sedar kalaupun sebagai seorang peminum arak tegar pun, beliau tidak boleh sesuka hati melayan jemputan itu dan bersahaja minum bersama dalam majlis rasmi tersebut.
“Kalau dia nak minum sampai mabuk tunggang-langgang biarlah dia dengan konco-konco peminum arak dia, tetapi ini adalah majlis rasmi Kerajaan!” tegas Nadzim lagi.
Nadzim menyelar para pegawai tinggi Islam dalam Kementerian itu kerana gagal menasihati Menteri yang jahil itu.
“Tapi saya kira beliau pun sedar akan perkara ini, namun mungkin sebagai seorang yang paling berkuasa dalam agensi pelancongan tersebut, kepedulian itu mungkin tiada,” ujar beliau lagi.
King Sing menjelaskan hidangan arak bukanlah disediakan oleh Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia tetapi telah disediakan pihak penganjur acara tersebut.
“Apa yang lebih menyedihkan apabila beliau mengesahkan bahawa Lembaga itu ‘menumpang’ acara itu bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Apalah begitu sengkeknya Kerajaan Madani yang terpaksa menumpang majlis orang lain untuk mengadakan sebuah acara besar rasmi seperti Tahun Melawat Malaysia 2026?” tanya Nadzim lagi.
Walau apapun alasan beliau, King Sing harus berpegang kepada perlembagaan Kerajaan ini walaupun beliau seorang pemabuk.
Sudah beberapa kali Menteri ini bertindak mengguris hati umat Islam. Sebelum ini juga beliau telah mencadang Bak Kut Teh sebagai hidangan warisan dan mempersenda isu kalimah Allah di stokin.
“Buat apa lagi kita simpan individu seperti ini memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan yang menjadi gunting dalam lipatan, api dalam sekam? Pertuturan Bahasa Melayu King Sing ini juga lintang pukang!” ujar Nadzim lagi.