(Kuala Lumpur, 7hb) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut menyatakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap tindakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang membenarkan penyediaan minuman beralkohol secara terbuka dalam satu acara rasmi, dan menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim memecat Menteri Pelancongan Tiong King Sing.
Pengerusi PPIM, Datuk Nadzim Johan dalam kenyataan berbahasa Cina berkata, beliau mencadangkan agar Anwar segera menukar Tiong King Sing kerana tindakannya telah melampaui batas dan bertentangan dengan budaya serta nilai negara.
Nadzim berkata, Tiong King Sing seolah-olah tidak sedar bahawa Islam merupakan agama rasmi Persekutuan, namun masih membenarkan situasi sebegini berlaku.
Beliau menegaskan, walaupun Tiong King Sing seorang bukan Islam, dia tidak sepatutnya minum arak sesuka hati di acara rasmi kerajaan, kerana ia memberi contoh yang tidak baik.
“Jika dia mahu minum sampai mabuk, silakan minum dengan rakan-rakan araknya secara peribadi — tetapi ini acara rasmi kerajaan!”
Nadzim turut mengkritik pegawai kanan Muslim di Kementerian Pelancongan kerana gagal menasihati menteri mereka, menyebabkan mereka juga dianggap cuai dan tidak bertanggungjawab.
“Lebih mengecewakan, pihak Lembaga Penggalakan Pelancongan turut mengakui bahawa mereka ‘menumpang’ acara ini untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.”
Nadzim mempersoalkan, "Adakah kerajaan yang dikatakan makmur begitu miskin sehingga hanya boleh menggunakan aktiviti orang lain untuk mempromosikan acara pelancongan negara?"
Beliau berkata, walau apa pun penjelasan Tiong King Sing, menteri itu mesti mematuhi perlembagaan negara walaupun beliau seorang peminum arak.
"Menteri ini sudah banyak kali melukakan hati umat Islam. Sebelum ini beliau mencadangkan agar bak kut teh disenaraikan sebagai makanan istimewa tradisional dan mempersendakan kontroversi kalimah 'Allah` yang tertera pada stokin.
"Mengapa kita harus membenarkan orang sebegini memegang jawatan tinggi dalam kerajaan? Dia ibarat ‘gunting dalam lipatan’ dan ‘api dalam sekam’ dalam kementerian! Pertuturan Bahasa Melayu King Sing ini juga lintang pukang!” ujar Nadzim lagi.
Artikel oleh: Sin Chew
TIDAK WAJAR MINUM ARAK DALAM ACARA RASMI KERAJAAN — PPIM DESAK PECAT TIONG KING SING