25 Sep
25Sep

Isu buli di sekolah sekali lagi menjadi perhatian ramai selepas tiga kes berasingan membabitkan pelajar menengah tular di media

Menurut laporan Harian Metro, lebih mengejutkan, ada mangsa yang mengalami kemurungan sehingga mengelar tangan sendiri akibat tekanan berterusan.

Murid tingkatan dua dibuli sampai trauma, kelar tangan di sekolah

Seorang ibu tunggal, Nurul Afeeza Mohd Tarmedi, menceritakan kisah perit anak perempuannya yang baru berpindah ke sebuah sekolah menengah harian di Hulu Langat, Selangor, pada Julai lalu.

Menurutnya, anaknya mula dibuli seawal hari kedua berada di sekolah. Namun, dia langsung tidak tahu sehinggalah anak bongsunya mendedahkan kakaknya sering melukis gambar makhluk ngeri dan menyeramkan."Dia lukis gambar menyerupai makhluk aneh yang ngeri dan menyeramkan, ketika itu baru saya tahu dia rupa-rupanya kemurungan, malah dia turut kelar tangan di sekolah ketika tiada murid lain dalam kelas.

"Saya tak tahu pun dia dibuli, dia tak pernah berkongsi cuma banyak berkurung dalam bilik. Saya perasan dia banyak asingkan diri, saya hanya tahu dia rupa-rupanya murung akibat dibuli sebelum cuti sekolah, itu pun bila adiknya beritahu kakak lukis gambar mengerikan.

"Jadi saya cuba tanya, dia beritahu tertekan, selalu kena ejek di sekolah sebab giginya agak ke depan (jongang), dia juga dipulaukan rakan-rakan dan perbuatan (mengejek) itu berlaku berhari-hari," 
katanya.

Image via Harian Metro

Difahamkan, anaknya sering diejek kerana keadaan giginya yang jongang, selain dipulaukan rakan sekelas. Situasi itu menyebabkan dia semakin tertekan dan lebih banyak mengasingkan diri. Lebih mengecewakan, walaupun aduan telah dibuat kepada pihak sekolah, tindakan buli itu tetap berlarutan.

"Saya mengadu kepada guru disiplin yang ada murid tarik rambutnya dan ejek, kejadian ini baru lagi, 12 September lalu. Saya juga maklumkan anak saya lukis gambar yang mengerikan, malangnya cikgu seperti tak ambil serius.

"Cikgu cuma beritahu minta anak saya pergi sekolah tapi tak dibenarkan jumpa murid (yang buli) disebabkan ada SOP, sedangkan anak saya dibuli sebegini, tak ada pula ikut SOP, sampai kelar tangan sendiri, itu yang saya tak boleh terima," katanya.

Susulan itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tampil mendesak pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengharamkan budaya buli di sekolah sepenuhnya dengan tindakan yang lebih tegas

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata kejadian buli kini berada pada tahap yang sangat meruncing dan memerlukan tindakan drastik.

"Letakkan satu garis panduan yang tegas iaitu haramkan terus perkara ini daripada berlaku di sekolah. Ketika ini kita tak nampak satu tindakan jelas daripada KPM, sedangkan Menteri Pendidikan misalnya melalui executive order boleh arahkan, misalnya letakkan kes buli ini sebagai jenayah.

"Sekarang ini dah beratus, malah mungkin puluhan ribu budak yang kena buli, nak tunggu apa lagi? Kita juga minta Perdana Menteri, arahkanlah (tindakan lebih proaktif atasi buli di sekolah), sebab perkara ini dah terlalu meruncing," katanya.

Menurut beliau lagi, kerajaan perlu pertimbangkan tindakan you touch, you go diambil Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagi menangani kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dalam usaha menangani kes buli di sekolah secara menyeluruh."Satu cadangan saya, ambillah tindakan seperti MRSM buat, tunjukkanlah keseriusan dalam tangani isu ini.

"Selain itu, dalam garis panduan KPM, perlu ada galakan untuk menggalakkan sukarelawan yang bersama-sama menjadi mata dan telinga (bagi mengesan kes buli di sekolah) dan menjadi antara pihak yang menyumbang kepada perubahan ini.

"Ia dah berlarutan dan PPIM sendiri terima banyak aduan buli, takkan kita nak biarkan, malah ramai yang tak berani ke depan. Ini adalah manifesti kegagalan di sekolah. Sekarang ini kes buli bukan hanya berlaku disebabkan perbuatan pelajar, ada aduan kaitkan guru juga membuli.

"Ini akan merosakkan masyarakat, apa lagi bila ada budak yang dibuli ini dia balas balik, buli semula orang yang melakukan perbuatan itu kepadanya," katanya lagi.

Artikel oleh: SAYS Seismik

"ANAK SAYA SAMPAI KELAR TANGAN SENDIRI" - KES BULI SEKOLAH MAKIN SERIUS, PPIM MINTA DIHARAMKAN SEGERA

https://says.com/my/berita/anak-saya-sampai-kelar-tangan-sendiri-kes-buli-sekolah-makin-serius-ppim-minta-diharamkan-segera

Comments
* The email will not be published on the website.