KUALA LUMPUR: Ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, mendakwa maklumat awal yang diterima berhubung waktu kematian anaknya bercanggah.
Ia didakwa berlaku susulan maklumat kematian yang diberikan oleh jurulatih tidak selari dengan rekod yang dicatatkan di kaunter pendaftaran Unit Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor.
Menurut Ummu Haiman Bee Daulatgun, panggilan kedua yang diterima daripada jurulatih pada kira-kira jam 4.30 petang, 28 Julai lalu, memaklumkan anaknya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan hospital terbabit.
“Pada 28 haribulan, jam 4.04 petang, saya terima panggilan daripada jurulatih yang memaklumkan anak saya dimasukkan ke Unit Kecemasan Hospital Kota Tinggi kerana baru selesai latihan menembak.
“Dia kemudian meracau dan sawan sehingga hilang pertimbangan. Panggilan kedua pada jam 4.30 petang memaklumkan anak saya meninggal dunia.
“Dalam tempoh masa yang singkat itu, saya rasa tidak puas hati kerana anak saya sudah berada dalam keadaan kritikal baru dibawa ke hospital,” katanya.
Ummu berkata, dia kemudian pergi ke Unit Kecemasan hospital berkenaan untuk bertanya jam berapa anaknya dibawa ke hospital.
“Amat mengejutkan apabila saya diberitahu anak saya dibawa dalam keadaan ‘Brought in Dead’ (BID) pada jam 6.23 petang,” katanya.
Lebih menghairankan, waktu kematian anaknya didakwa sekali lagi berubah pada borang pendaftaran.
“Ketika diminta mengisi borang, terdapat waktu kematian anak saya yang dicatatkan pada jam 3.50 petang. Justeru, maklumat awal yang diterima amat bercanggah dan menimbulkan keraguan,” katanya pada sidang akhbar bagi menuntut keadilan kematian Syamsul Haris di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, sebelum ini Syamsul Haris pernah memaklumkan dirinya diprovokasi oleh pihak yang tidak berpuas hati dengannya, malah pernah memberitahu ada pihak memanggilnya ‘Gopal’.
Allahyarham juga tidak pernah menghidap sebarang penyakit, termasuk sawan, sepanjang hidupnya.
Malah, ketika pengebumian, rakan Allahyarham dilihat enggan mengulas mengenai kejadian itu.
Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi (HKT) selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Johor.
Hasil bedah siasatan awal bagaimanapun mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes itu.
Sehubungan itu, Ummu menuntut supaya bedah siasat kedua dijalankan dan bersedia kubur anaknya digali semula, berikutan beberapa perkara yang meragukan, termasuk pendarahan serta kesan lebam di beberapa bahagian badan jenazah.
Artikel oleh: Buletin TV3
KEMATIAN PELATIH PALAPES: IBU PERSOAL PERCANGGAHAN MAKLUMAT KEMATIAN