FENOMENA urbanisasi yang pesat mendorong ramai rakyat Malaysia, khususnya orang muda dan keluarga baharu untuk berhijrah ke bandar dalam usaha mencari peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup.
Di sebalik cita-cita besar itu, mereka berdepan satu cabaran yang kian meruncing termasuk isu kediaman yang semakin sempit dan harga rumah terus melambung.
Melihat situasi semasa, harga sewa rumah di kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, dan Johor Bahru kini berada di tahap yang membebankan.
Realiti kehidupan di bandar tidak semewah disangka. Ramai keluarga muda kini tinggal menyewa di unit apartmen yang kecil, berkeluasan sekitar 600 hingga 800 kaki persegi, sedangkan jumlah ahli keluarga melebih tiga orang.
Sebahagian besar rakan penulis yang memilih meluaskan kerjaya mereka di kawasan bandar pesat terpaksa akur tinggal di rumah tanpa kemudahan lif, tiada pengawasan pengawal 24 jam serta memerlukan persaingan untuk berebut tapak parkir.
Sewa untuk sebuah apartmen sederhana pun boleh mencecah RM1,500 ke atas sebulan, tidak termasuk bil utiliti, bayaran tempat letak kereta dan yuran penyelenggaraan, sedangkan pendapatan bulanan hanya sekitar RM2,500.
Penulis juga melihat kos kehidupan yang semakin mencabar turut menambahkan tekanan dalam kalangan rakyat terutama dalam kumpulan B40 menjadikan pengurusan kewangan keluarga bandar ibarat ‘kais pagi makan pagi’.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, isu ini sebenarnya lebih besar daripada sekadar ruang kediaman.
Katanya, ia melibatkan kualiti hidup, kesejahteraan mental dan pembangunan sosial anak-anak yang membesar dalam persekitaran sempit dan penuh tekanan.
“Keadaan ini tidak sepatutnya menjadi norma masyarakat bandar. Mereka perlu disediakan kediaman mampu milik seperti mana gaji yang diberikan. Hak mereka untuk ada rumah selesa sesuai dengan jumlah penghuni,” katanya kepada Kosmo!.
Katanya, pihak berwajib dan pemaju hartanah harus lebih proaktif dalam menyediakan perumahan mampu sewa yang memenuhi keperluan sebenar keluarga bandar.
“Skim sewaan dengan subsidi kerajaan, kawalan harga sewa serta insentif kepada pemilik rumah yang menyewakan dengan kadar berpatutan adalah antara langkah yang boleh dipertimbangkan.
“Pendidikan kewangan dan perancangan kediaman jangka panjang juga perlu diberikan kepada pasangan muda bagi membantu mereka membuat keputusan lebih bijak selain memberi galakan untuk menjana pendapatan lebih agar mampu bertahan hidup di bandar,” ujarnya.
Bagaimanapun, penulis merasakan ‘rumah makin sempit’ bukan sekadar isu fizikal ruang, tetapi lambang kesenjangan ekonomi dan tekanan kos sara hidup yang dihadapi masyarakat bandar masa kini.
Jika tidak ditangani dengan berkesan, ia boleh memberi ‘kesan domino’ terhadap kestabilan sosial dan kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang.
Artikel oleh: Kosmo
TINGGAL DI BANDAR, TAPI RUMAH SEMPIT
https://www.kosmo.com.my/2025/05/10/tinggal-di-bandar-besar-tapi-rumah-sempit/