21 Feb
21Feb

Kuala Lumpur: Waspada dengan nafsu makan yang tidak terkawal sehingga mengundang pembaziran, sikap yang dicela di dalam Islam.

Itu nasihat Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan selepas pemerhatian pihaknya mendapati bertan-tan makanan dibuang begitu saja terutama ketika bufet Ramadan.

Katanya, ia tidak mencerminkan sikap sebenar umat Islam terutama ketika hadir ke majlis berbuka puasa yang mengenakan caj tinggi, namun akhirnya makanan dibuang.

"Yang kita dengar, paling banyak adalah sate. Seorang yang sepatutnya makan tiga cucuk, tetapi ambil sampai 10 cucuk. Sudahnya tak makan, lepas itu buang.

"Ramadan ini mencakupi disiplin, kesederhanaan dan berjimat cermat. Tetapi apa yang kita dapat aduan, cukup menyedihkan.

"Bayar mahal satu hal, kemudian membazir tak makan. Bila bercakap hal Palestin dan Gaza, dia melenting. Tapi bila datang bulan puasa, orang ini jadi tak terkawal," katanya kepada Harian Metro.

Nadzim berkata, pihaknya mencadangkan kepada pengurusan hotel di seluruh negara untuk tampil dengan inisiatif retort, untuk memastikan tidak berlaku pembaziran.

Beliau berkata, biarpun sudah menjadi budaya sejak sekian lama, tetapi sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan lebihan makanan tidak dibazirkan dengan begitu mudah.

"Jadikan Ramadan ini pencetus perubahan kepada usaha kita untuk meningkatkan amalan. Kita kena ubah supaya sekurang-kurangnya Ramadan kali ini lebih baik dari yang lepas," katanya.

Ditanya mengenai apakah inisiatif paling mudah untuk mengelakkan pembaziran, beliau berkata, segala-galanya bermula dari rumah dengan didikan ibu bapa menjadi pencetus awal.

Katanya, dengan mendidik anak-akan untuk mengambil makanan dalam jumlah yang perlu saja akan menjadikan mereka generasi berdisiplin.

"Kita kena belajar menghargai dan bersyukur. Dari awal perlu ditekankan mengenai keperluan berjimat cermat, dalam rezeki kita ada rezeki orang lain juga.

"Maknanya, apa juga yang kita lakukan akan jadi baik jika kita buat ketetapan untuk mendapat reda Allah SWT," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

'JANGAN MEMBAZIR, MAKANAN YANG TAK HABIS SUDAH BERLORI-LORI' - PPIM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/02/1324998/jangan-membazir-makanan-yang-tak-habis-sudah-berlori-lori-ppim

Comments
* The email will not be published on the website.