
Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyuarakan kebimbangan terhadap kelompongan kritikal dalam ekosistem e-hailing dan p-hailing negara yang dilihat seolah-olah menjadi ancaman kepada keselamatan rakyat.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri melihat hak pengguna diinjak-injak oleh sistem yang tidak lengkap serta penguatkuasaan yang lemah.
Jelasnya, PPIM berdiri teguh menyokong desakan Persatuan Kebajikan Pekerja E-Hailing Malaysia (PKEH).
"Isu keselamatan penumpang adalah maruah dan nyawa, bukannya perkara yang boleh dirunding di atas meja birokrasi yang berbelit.
"Sangat mendukacitakan apabila ketiadaan pangkalan data berpusat telah mewujudkan 'sistem pintu belakang'," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Nadzim turut mempersoalkan bagaimana seorang pemandu yang telah dibuang kerja atau digantung kerana gangguan seksual di satu platform masih bebas mencari mangsa baharu di aplikasi pesaing lain pada hari sama.
"Ini bukan sekadar kelemahan teknikal, ini adalah kecuaian sistemik. Kita seolah-olah membiarkan pemangsa terus berkeliaran di jalan raya menggunakan lesen e-hailing," katanya.
Pada masa sama, PPIM menyelar cadangan prosedur di bawah Akta Pekerja Gig 2025 yang mahu memberikan tempoh rayuan sehingga 14 hari bagi kes jenayah.
"Logik apa yang diguna pakai oleh kementerian? Adakah kita mahu menunggu 14 hari lagi untuk melihat anak, isteri atau ibu bapa kita menjadi mangsa seterusnya sebelum tindakan diambil?
"Tempoh 14 hari ini adalah satu penghinaan kepada mangsa jenayah dan keselamatan pengguna awam. Nyawa tidak boleh menunggu siasatan birokrasi," katanya.
Demi melindungi nyawa dan keselamatan pengguna Islam serta seluruh rakyat Malaysia, PPIM menuntut tiga perkara dilaksanakan tanpa sebarang alasan.
Nadzim berkata, pertama, sekatan automatik secara masa nyata melalui pangkalan data senarai hitam berpusat supaya pemandu yang melakukan kesalahan serius disekat serta-merta di semua platform.
"Kedua, pengiktirafan terhadap tindakan tegas platform tanpa menjadikan birokrasi kerajaan sebagai penghalang.
"Ketiga, penghapusan tempoh rayuan 14 hari bagi kes jenayah berat, gangguan seksual dan pemanduan berbahaya dengan sekatan mandatori dilaksanakan serta-merta," katanya.
Katanya, PPIM turut bertegas supaya kerajaan tidak hanya bertindak secara reaktif selepas sesuatu isu tular atau arahan ad-hoc dikeluarkan.
"Rakyat mahukan sistem yang kalis pencerobohan penjenayah. Jangan sampai pengguna hilang kepercayaan kepada industri e-hailing negara gara-gara kelemahan undang-undang yang longgar," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
PPIM BIMBANG KELOMPONGAN DALAM EKOSITEM E-HAILING, P-HAILING JADI ANCAMAN KESELAMATAN