09 Oct
09Oct

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menerima pelbagai pertanyaan daripada pengguna berhubung kenyataan media yang dikeluarkan pada 7 Oktober lalu mengenai jenama-jenama makanan kucing di pasaran yang dikesan mengandungi unsur babi.

Sehubungan itu, bagi memperincikan perkara ini, PPIM telah mengadakan satu sidang media untuk menerangkan ciri-ciri tertentu dalam makanan kucing serta kepentingan memastikan status halal, walaupun untuk makanan haiwan peliharaan.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi menyeru umat Islam agar membaca label produk dengan teliti sebelum membeli, supaya tidak terbeli produk yang mengandungi unsur babi.

“Doa adalah senjata orang mukmin. Jika kita tidak berhati-hati dan memberi haiwan peliharaan makanan yang mengandungi babi, dikhuatiri ia boleh menjejaskan keberkatan dan penerimaan doa kita,” tegas Toqqi.

Beliau turut memaklumkan bahawa PPIM menerima banyak aduan daripada orang ramai yang melaporkan terdapat individu memberi makanan kucing di kawasan masjid, namun makanan tersebut mengandungi unsur babi.

“Amalan memberi makan kucing adalah sangat baik, namun jika makanan itu mengandungi unsur babi, ia boleh mencemarkan kesucian masjid yang merupakan tempat ibadah. Kita tidak mahu perkara ini berlaku,” ujar beliau lagi.

PPIM juga mengingatkan pengguna agar berhati-hati dengan kandungan seperti meat derivatives yang sering dinyatakan pada label produk tetapi tidak menjelaskan jenis daging yang digunakan.

PPIM menyeru agar syarikat yang terlibat menyatakan secara jelas jenis daging yang digunakan dalam produk mereka. Jika tidak, PPIM akan menganggap bahawa daging tersebut berkemungkinan berasal daripada sumber babi.

Oleh itu, PPIM menyeru semua pengguna Islam untuk menyebarkan kesedaran ini dan memilih produk makanan kucing yang halal, demi kemaslahatan dan kebersihan umat Islam.

Untuk membantu pengguna membuat pilihan yang tepat, PPIM menyediakan maklumat lanjut mengenai senarai makanan kucing halal melalui laman sesawang rasmi di 👉 ppim.ngo

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Pengarah Latihan PPIM, Cikgu Izham Nayan, serta Penasihat Agama PPIM, Ustaz Ahmad Shadan.

Comments
* The email will not be published on the website.