25 Mar
25Mar

Kuala Lumpur: Biarpun harga sayuran di negara ini masih kekal tanpa kenaikan sejak konflik di Asia Barat tercetus namun harga barangan asas itu dijangka naik berperingkat dalam masa terdekat.

Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid berkata, pihaknya menjangka dalam tempoh seminggu dua lagi harga sayuran kemungkinan akan meningkat.

"Kemungkinan naik sehingga 50 peratus untuk seketika, kemudian harga mungkin akan turun sedikit sehingga 30 peratus," katanya, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini belum ada lagi kenaikan harga walaupun kos pengeluaran sudah naik.
"Kos pengeluaran cepat naik. Sebelum kerajaan umum akan ada kenaikan, kos pengeluaran sudah pun meningkat," katanya.

Syed Abd Rahman berkata pihaknya akan terus memantau harga sayuran di pasaran dan kenaikan harga bergantung kepada harga pasaran.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Nadzim Johan berkata, pihaknya sering menasihati pengguna untuk berjimat dalam berbelanja.

"Untuk menyarankan pengguna mula berkebun mungkin tidaklah sehingga ke tahap itu, cuma mungkin untuk mengurangkan kos perbelanjaan keluarga, pengguna boleh mula tanaman kecil-kecilan di balkoni rumah, di dapur malas di bahagian garaj rumah juga boleh.

"Tidak perlu sehingga membuka ladang sayur sendiri, cukup sekadar menampung keperluan sendiri sahaja seperti menggunakan teknik hidrofonik untuk sayur seperti bayam, kangkong, atau sawi sekadar cukup untuk kegunaan sendiri bagi mengurangkan beban belanja keluarga," katanya.

Selain itu, Nadzim berkata pengguna boleh mengutamakan membeli sayur tempatan tetapi jika harga sayur import seperti kobis contohnya lebih murah, maka pengguna harus membuat pilihan yang bijak.

"Pengguna boleh menentukan harga barangan jika mereka bijak memilih harga yang berpatutan, peniaga tiada pilihan kecuali menurunkan harga," katanya.

Nadzim juga berpendapat selain pengguna di peringkat runcit atau di rumah, pihak sekolah boleh memanfaatkan ruang yang ada di kawasan sekolah untuk membangunkan projek hidrofonik.

"Selain menghasilkan sayuran yang boleh dikongsi bersama pelajar, jika hasilnya banyak pihak sekolah boleh menjual untuk menjana pendapatan untuk sekolah, program seperti hidrofonik di sekolah mampu memupuk minat pelajar dalam bidang sains dan biologi," katanya.

Nadzim berkata kelab dan persatuan juga boleh memanfaatkan bangunan mereka untuk mula projek hidrofonik kecil-kecilan untuk keperluan ahli mereka.

Harga barangan asas dijangka akan meningkat susulan peningkatan harga bahan api akibat krisis di Asia Barat.

Sebelum ini media melaporkan sekiranya konflik di Asia Barat berlanjutan dalam tempoh panjang, harga minyak dunia berpotensi menjadi tidak menentu dan mungkin meningkat melebihi AS$100 (RM 393) setong.

Artikel oleh: Harian Metro

HARGA SAYUR MUNGKIN AKAN NAIK 50 PERATUS KESAN PERANG ASIA BARAT

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/03/1336869/harga-sayur-mungkin-akan-naik-50-peratus-kesan-perang-asia-barat

Comments
* The email will not be published on the website.