14 Oct
14Oct

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyuarakan kebimbangan mendalam berhubung ancaman jenayah penipuan dalam talian (scam) yang semakin berleluasa dan menggunakan taktik serta helah psikologi yang terancang untuk memperdaya mangsa.

PPIM menegaskan bahawa modus operandi penjenayah hari ini semakin kompleks sehingga sesiapa sahaja tanpa mengira umur, latar belakang pekerjaan mahupun tahap pendidikan berisiko tinggi untuk menjadi sasaran.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata, "Hari ini, penjenayah scam tidak lagi memilih mangsa. Mereka bijak memanfaatkan kemajuan teknologi dan memanipulasi emosi serta psikologi rakyat untuk mencuri wang simpanan yang dikumpul bertahun-tahun. Hakikatnya, sesiapa sahaja boleh terperangkap sekiranya tidak mempunyai pengetahuan asas dan sifat waspada yang tinggi."

"Kita tidak boleh lagi mengamalkan sikap 'sudah hantuk baru ngadah'. Jangan tunggu wang simpanan lesap dalam sekelip mata baru kita mahu belajar mempertahankan diri. Prinsip kita cukup mudah – Sedar, Semak dan Bertindak Sebelum Kena."

"Justeru, ilmu pertahanan diri digital ini bukan sahaja penting untuk melindungi diri kita sendiri, tetapi amat krusial bagi menyelamatkan keluarga, rakan sekerja, dan komuniti di sekeliling kita daripada menjadi korban penipuan seterusnya.

"Bagi mengelakkan lebih ramai rakyat menjadi mangsa, PPIM dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) menganjurkan Bengkel Anti-Scam Internet Selamat (BASIS) Siri 1.

Bengkel ini dirangka khusus untuk memberikan pendedahan praktikal serta kemahiran penting kepada orang ramai, antaranya;

  • Mengenal Pasti Modus Operandi: Mempelajari taktik terkini dan helah psikologi yang digunakan oleh scammer.
  • Aplikasi Semakan Anti-Scam: Menggunakan platform dan aplikasi khas untuk membuat semakan nombor telefon atau akaun bank sebelum melakukan sebarang transaksi.
  • Langkah Pencegahan & Tindakan Pertolongan Cemas: Memahami tindakan pantas dan saluran betul yang wajib diambil sekiranya terperangkap atau menjadi mangsa penipuan.

PPIM menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk mengambil peluang hadir dan memenuhkan dada dengan ilmu perlindungan kewangan digital ini.

"SEDAR, SEMAK DAN BERTINDAK SEBELUM KENA."

Comments
* The email will not be published on the website.