23 Dec
23Dec

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah mengadakan satu sidang media bagi menzahirkan kejayaan cemerlang atlet muda negara dalam sukan memanah berkuda, yang telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sidang media tersebut memperincikan pencapaian pasukan pemanah berkuda junior Malaysia yang berjaya mencipta kejayaan membanggakan melalui penyertaan dalam 2025 Global Horseback Archery Masters, sebuah kejohanan bertaraf dunia yang berlangsung di Honghuashan Sports Centre, Shenzhen City, China, dari 10 hingga 13 Disember 2025.

Kejohanan bertaraf dunia ini disertai lebih 70 atlet dari pelbagai negara dan telah diiktiraf serta disahkan oleh World Horseback Archery Federation (WHAF). Kejayaan delegasi Malaysia membuktikan keupayaan atlet muda negara untuk bersaing secara kompetitif di arena antarabangsa, sekali gus mencerminkan potensi besar sukan pemanah berkuda sebagai aset kebanggaan negara.

Namun, di sebalik kejayaan bertaraf dunia ini, pasukan memanah berkuda tradisional Malaysia berdepan cabaran besar dari segi kewangan dan sokongan. Kesemua penyertaan kejohanan antarabangsa dibiayai secara sendiri, termasuk kos tiket penerbangan, yuran penyertaan dan latihan, tanpa sebarang tajaan rasmi kerajaan. Keadaan ini amat berbeza dengan negara pesaing seperti China yang mendapat pembiayaan penuh kerajaan.

Sehubungan itu, PPIM menyeru agar kejayaan ini disebarluaskan dan diberi perhatian serius oleh agensi-agensi berkaitan, pihak kerajaan serta sektor swasta supaya sokongan berbentuk tajaan, penghargaan dan pengiktirafan dapat disalurkan kepada atlet-atlet ini. PPIM percaya sukan memanah berkuda mempunyai potensi besar untuk berkembang ke tahap lebih tinggi dan mampu terus mengharumkan nama negara sekiranya diberikan peluang serta sokongan yang sewajarnya.

Comments
* The email will not be published on the website.