18 Dec
18Dec

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama rakan-rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Harmoni Prihatin Malaysia, Muslim Care Malaysia dan Yayasan Basmi Kemiskinan hari ini mendedahkan situasi krisis kemanusiaan yang amat serius di Aceh, Indonesia, susulan bencana banjir lumpur berskala besar yang disifatkan lebih dahsyat daripada tragedi tsunami 2004.

Perkara ini didedahkan dalam satu sidang media yang turut dihadiri Ketua Lembaga Aceh Bersatu (LEMBATU) serta peserta misi kemanusiaan yang baru pulang dari lapangan. Bencana tersebut bukan sekadar banjir air, tetapi banjir lumpur yang membawa kayu-kayu balak, sehingga memusnahkan kawasan pertanian, menghanyutkan rumah penduduk, dan menghapuskan keseluruhan perkampungan. 

Kesan bencana ini telah mengakibatkan krisis kemanusiaan kritikal, dengan peningkatan angka kematian, kewujudan kubur tanpa tanda, serta ancaman kebuluran yang semakin meruncing. Penduduk Aceh kini berdepan kekurangan serius bekalan asas termasuk makanan, air bersih, ubat-ubatan, elektrik (akibat pencawang elektrik yang musnah), dan tempat perlindungan sementara.

Turut disuarakan, kebimbangan besar terhadap sekatan dan halangan dalam penyaluran bantuan kemanusiaan. 

Sehubungan itu, PPIM bersama rakan NGO sedang merancang Misi Kemanusiaan Kedua selama enam hari dan menggesa agar bantuan disalurkan melalui laluan yang lebih berkesan bagi memastikan ia sampai terus kepada mangsa. Antara keperluan yang akan disalurkan adalah makanan sedia untuk dimakan (Ready-To-Eat/RTE), kurma, kelambu dan ubat-ubatan.

PPIM turut memohon Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempermudah penyaluran bantuan ke Aceh melalui saluran diplomasi Malaysia-Indonesia. Kerajaan memainkan peranan penting dalam memudahkan urusan rentas sempadan serta mengurangkan halangan birokrasi, sekaligus mencegah sebarang salah faham antara pelbagai pihak, termasuk NGO tempatan dan antarabangsa.

Comments
* The email will not be published on the website.