04 Dec
04Dec

KUALA LUMPUR: Dibelasah dan dibogelkan antara penyeksaan yang terpaksa dihadapi selama sebulan oleh ahli perniagaan Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Poipet, Kemboja.

Bukan itu sahaja, Muhammad Syafiq Pubalan Abdullah, 40, mendakwa turut diberi makan daging babi sepanjang dipaksa bekerja sebagai scammer di negara terbabit.

Lelaki itu bagaimanapun bernasib baik dilepaskan selepas isterinya membayar RM6,000 dan mengugut ejen sindiket pekerjaan yang dia mahu melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Berkongsi cerita, Muhammad Syafiq berkata, terdahulu dia ditawarkan oleh rakannya yang sudah dikenali lebih 12 tahun mengenai peluang untuk membuka kedai makan di Kemboja dan mengikut perancangan, mereka akan ke negara berkenaan untuk melawat lokasi tapak perniagaan itu.

"Kami bertolak dari Malaysia ke Bangkok, Thailand melalui laluan darat dan sepatutnya ke Kemboja dengan menaiki kapal terbang. Bagaimanapun, apabila tiba di Bangkok, pasport saya diambil rakan sebelum saya dibawa memasuki Kemboja melalui jalan tikus. Rupanya rakan yang saya kenali itu adalah ejen sindiket pekerjaan di sana.

"Sebaik tiba di Kemboja, saya dibawa ke blok bangunan untuk menyamar sebagai pihak berkuasa bahagian keselamatan siber dari Singapura bagi memperdaya orang ramai," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini hari ini.

Menurutnya, pada minggu pertama, dia dibelasah beberapa kali oleh pekerja lebih senior kononnya sebagai salam perkenalan dan untuk menimbulkan ketakutan dan kemudian setiap hari dipaksa bekerja antara 10 hingga 12 jam untuk menghubungi lebih 250 nombor telefon yang diberikan.

"Ketika itu, saya hanya fikir sekiranya terus diseksa sebegini, mungkin saya mati di sana. Saya hanya mampu berdoa agar keajaiban berlaku, mujurlah dengan usaha keras isteri, saya berjaya diselamatkan. Bagaimanapun sebelum dilepaskan, saya ditelanjangkan dan diminta memegang pasport sambil mereka merakam video serta dipaksa membuat pengakuan bahawa tindakan saya bekerja di sana adalah atas kerelaan hati," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berharap dengan pendedahan itu, pihak berkaitan termasuk kerajaan dapat mengambil langkah sewajarnya bagi menangani penipuan demikian daripada terus berleluasa.

"Ini bukan benda main-main dan bukan masalah baharu. Perkara ini boleh terjadi kepada anak-anak, saudara mara dan kawan-kawan kita. Justeru, saya harap cerita ini menjadi pengajaran dan mohon semua pihak untuk bekerjasama, termasuk meletakkan tekanan di peringkat antarabangsa bagi membendung kegiatan ini," katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

AHLI PERNIAGAAN MALAYSIA DIPAKSA JADI 'SCAMMER' DI KEMBOJA, KENA BELASAH DAN DIBOGELKAN, DIBERI MAKAN DAGING BABI

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/12/1480209/ahli-perniagaan-malaysia-dipaksa-jadi-scammer-di-kemboja-kena-belasah-dan#google_vignette

Comments
* The email will not be published on the website.