04 Dec
04Dec

Kuala Lumpur: Dibelasah dan dibogelkan antara penyeksaan yang terpaksa dihadapi seorang ahli perniagaan Malaysia selama sebulan yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Poipet, Kemboja, baru-baru ini.

Bukan itu saja, Muhammad Syafiq Pubalan Abdullah, 40, turut diberi makan daging babi sepanjang dipaksa bekerja sebagai 'scammer' di negara terbabit.

Bagaimanapun, Muhammad Syafiq bernasib baik apabila dilepaskan selepas isterinya membayar RM6,000 dan mengugut ejen sindiket pekerjaan itu untuk melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.

Berkongsi ceritanya, Muhammad Syafiq berkata, sebelum itu dia ditawarkan oleh rakannya yang sudah dikenali lebih 12 tahun peluang untuk membuka kedai makan di Kemboja.

Katanya, mengikut perancangan, mereka ke Kemboja untuk melawat lokasi tapak perniagaan itu.

"Kami bertolak dari Malaysia ke Bangkok, Thailand melalui laluan darat dan sepatutnya akan ke Kemboja dengan menaiki kapal terbang.

"Bagaimanapun, apabila tiba di Bangkok, pasport saya diambil rakan sebelum saya dibawa memasuki Kemboja melalui jalan tikus. Rupa-rupanya rakan yang saya kenali itu adalah ejen sindiket pekerjaan di sana.

"Sebaik tiba di Kemboja, saya dibawa ke blok bangunan untuk menyamar sebagai pihak berkuasa bahagian keselamatan siber dari Singapura bagi memperdaya orang ramai," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.

Menurutnya, setiap hari dia dipaksa bekerja antara 10 hingga 12 jam untuk menghubungi lebih 250 nombor telefon yang diberikan.

Katanya, pada minggu pertama, dia dibelasah beberapa kali oleh pekerja yang lebih senior sebagai salam perkenalan dan untuk menimbulkan ketakutan.

"Ketika itu, saya hanya fikir sekiranya terus diseksa begini, mungkin saya akan mati di sini. Saya hanya mampu berdoa agar keajaiban berlaku.

"Mujurlah dengan usaha keras isteri, saya berjaya diselamatkan. Bagaimanapun sebelum dilepaskan, saya dibogelkan dan diminta memegang pasport sambil mereka merakam video serta dipaksa membuat pengakuan bahawa tindakan saya bekerja di sini adalah atas kerelaan hati," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berharap dengan pendedahan ini, pihak berkaitan termasuk kerajaan dapat mengambil langkah sewajarnya bagi menangani perkara ini daripada terus berleluasa.

"Ini bukan benda main-main dan bukan masalah baharu. Perkara ini boleh terjadi kepada anak-anak, saudara mara dan kawan-kawan kita.

"Justeru itu, saya harap cerita ini menjadi pengajaran dan memohon semua pihak untuk bekerjasama, termasuk meletakkan tekanan di peringkat antarabangsa bagi membendung kejadian ini berulang," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro 

KENA BELASAH, KENA BOGEL DAN DIPAKSA MAKAN DAGING BABI

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/12/1295556/kena-belasah-kena-bogel-dan-dipaksa-makan-daging-babi

Comments
* The email will not be published on the website.