
KUALA LUMPUR: Dipukul berulang kali, dibogelkan di hadapan pekerja wanita, makan daging babi secara paksa, seorang mangsa sindiket penipuan pekerjaan menceritakan bagaimana beliau dan ratusan rakyat Malaysia lain dijadikan ‘mesin scam’ oleh sindiket di Poipet, Kemboja.
Mangsa, Muhammad Syafiq Pubalan Abdullah, 40, berkata, dia dipaksa bekerja selama sebulan sebagai scammer selepas diperdaya rakan baiknya sendiri yang sudah dikenalinya lebih 12 tahun.
Menurutnya, rakannya itu menawarkan peluang membuka restoran makanan Malaysia di Kemboja, sebelum membawa Syafiq ke Bangkok melalui jalan darat kononnya untuk meninjau lokasi perniagaan.
“Setibanya di Bangkok, pasport saya dirampas dan saya dibawa lari ke Kemboja melalui jalan tikus. Masa itu baru saya sedar saya sudah ditipu dan dijual kepada sindiket,” katanya pada sidang akhbar anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di ibu negara hari ini. Turut hadir Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.
Muhammad Syafiq berkata setibanya di Poipet, dia dikurung bersama kira-kira 700 lagi rakyat Malaysia yang dipaksa menyamar sebagai pegawai Agensi Keselamatan Siber Singapura untuk memperdaya rakyat Singapura.
Katanya, setiap hari mereka dikerah menghubungi lebih 250 nombor selama 10 hingga 12 jam, menggunakan skrip yang disediakan sindiket.
“Minggu pertama saja saya sudah dibelasah oleh rakyat Malaysia dan mereka menganggap itu merupakan ‘salam perkenalan’ untuk saya.
“Ada masa mereka telanjangkan kami di depan pekerja wanita, hanya untuk menimbulkan rasa takut. Yang paling tak boleh lupa bila mereka paksa kami makan daging babi dua hingga tiga kali seminggu,” katanya.
Muhammad Syafiq berkata penyeksaan fizikal dan tekanan mental menyebabkan ramai mangsa trauma dan hilang arah kerana setiap pergerakan diawasi.
“Hari terakhir sebelum saya dibebaskan, mereka paksa saya berbogel sambil pegang pasport dan buat pengakuan yang mengatakan saya bekerja disitu atas kerelaan hati,” katanya.
Syafiq akhirnya dibebaskan selepas isterinya membayar RM6,000 sebagai wang tebusan dan mengugut untuk melaporkan kegiatan sindiket kepada pihak berkuasa.
“Sistem mereka canggih. Mereka boleh tekan nombor kad pengenalan seseorang dan peroleh segala informasi dan perkara itu menakutkan saya.
“Sindiket itu sahaja pernah menipu mangsa sehingga mencecah RM235,000 dalam satu panggilan,” katanya.
Sementara itu, Nadzim berkata, pendedahan seperti ini perlu dipandang serius oleh orang ramai dan kerajaan agar tindakan tegas dapat diambil segera.
“Ini bukan perkara kecil atau benda baharu. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, anak kita, saudara, kawan-kawan.
“Sebab itu kita mahu semua pihak menuntut keadilan oleh undang-undang antarabangsa dan agensi yang berkaitan supaya isu ini tidak berulang” katanya. – UTUSAN
Artikel oleh: Utusan Malaysia