04 Nov
04Nov

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan ini membantah sekeras-kerasnya kegiatan yang dilakukan oleh pihak Muslim Friendly Watch yang mengeluarkan perakuan 'Muslim Choice' kepada peniaga, yang seolah-olah bertindak sebagai suatu tanda atau sijil Halal.

Tindakan ini adalah jelas suatu percubaan untuk mengelirukan orang ramai dan dilihat sebagai menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011. Akta tersebut dengan nyatanya memperuntukkan bahawa pihak yang diberi kuasa untuk mengeluarkan pensijilan Halal di Malaysia hanyalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Mana-mana pihak lain yang mengeluarkan sebarang bentuk perakuan, label atau logo yang menyerupai sijil Halal adalah melakukan suatu kesalahan di sisi undang-undang.

PPIM mendapati kegiatan Muslim Friendly Watch ini amat berbahaya dan boleh menghakis kepercayaan serta keyakinan pengguna Islam di negara ini. Kewujudan dua 'autoriti' yang berbeza dalam hal pensijilan Halal hanya akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna, peniaga, malah badan-badan pensijilan luar negara yang selama ini telah mempercayai dan mengiktiraf JAKIM sebagai satu-satunya badan pensijilan Halal yang sah di Malaysia.

Kami ingin menegaskan bahawa isu Halal adalah isu yang sangat sensitif dan melibatkan akidah serta keyakinan umat Islam. Segala bentuk komersialisasi dan main-main dalam urusan ini perlu dibendung segera.

Oleh itu, PPIM menggesa:

  1. Kepada Muslim Friendly Watch: Agar serta-merta menghentikan semua kegiatan mengeluarkan perakuan 'Muslim Choice' yang boleh disalahertikan sebagai sijil Halal.
  2. Kepada Penguatkuasa Akta Perihal Dagangan 2011: Agar mengambil tindakan tegas dan segera terhadap pihak yang melanggar akta ini bagi melindungi kepentingan pengguna Islam dan mengekalkan integriti pensijilan Halal Malaysia.
  3. Kepada Semua Pengguna Islam: Agar sentiasa berwaspada dan hanya merujuk kepada Logo Halal Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM/MAIN sebagai satu-satunya tanda yang sah dan diyakini.

Kita semua perlu bersatu dalam mempertahankan kredibiliti dan integriti pensijilan Halal di negara ini yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa. Jangan biarkan sebarang pihak mempersenda dan mempermainkan isu yang menjadi teras kehidupan umat Islam.

“Bersama Kembalikan Hak & Maruah Dengan Bijaksana”

nadzimjohan@toqqi

Ketua Aktivis

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

Comments
* The email will not be published on the website.