27 Oct
27Oct

SHAH ALAM – Kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) digesa mengenakan hukuman berat terhadap syarikat telekomunikasi (telco) yang gagal mengawal serta mencegah kegiatan penipuan, sama ada melalui panggilan telefon atau mesej, yang kini dianggap sebagai ‘wabak senyap’ dalam masyarakat.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan radikal seumpamanya perlu bagi memastikan syarikat berkaitan lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil mudah soal pendaftaran nombor yang sering disalah guna oleh sindiket penipuan (scammer).

Menurut beliau, kegagalan telco memantau penggunaan nombor telefon dengan baik telah membuka ruang kepada scammer untuk beroperasi bebas, termasuk menggunakan nombor luar negara tanpa pengesahan sah.

“Jika telco membiarkan pendaftaran kad Modul Identiti Pelanggan (SIM) dengan cara tidak betul, maka syarikat wajar didenda sehingga RM50,000. Barulah mereka tidak berani ambil mudah.

“Sekarang ini, nombor luar negara pun boleh guna, tidak daftar pun boleh lepas. Sebab itulah scammer senang hendak beroperasi. Jadi saya minta MCMC pastikan telco betul-betul patuh,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Beliau berkata, kelemahan pengawalan sistem telekomunikasi dan kelonggaran semakan identiti pengguna menyebabkan penguatkuasaan menjadi sukar.

Justeru, Nadzim menyatakan usaha membanteras scammer memerlukan kerjasama bersepadu antara MCMC, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Jika semua agensi terbabit bersatu dan bertindak sebelum scammer bertindak, baru boleh hentikan gejala ini. Jika tunggu selepas berlaku kes, maka lambatlah diselesaikan,” katanya.

Tegasnya, MCMC bersama PDRM juga diminta bertindak lebih awal dan agresif bagi membendung kes penipuan berkaitan telekomunikasi yang kini semakin membimbangkan.

“MCMC kena lebih proaktif. Jangan tunggu laporan baru hendak bertindak.

“Sekarang ini nombor mencurigakan sepatutnya terus disekat. Bagaimanapun, tindakan biasanya diambil selepas sesuatu kejadian berlaku,” ujarnya.

Beliau berkata, pendekatan sedia ada yang hanya menunggu laporan sebelum bertindak menyebabkan ramai mangsa kehilangan wang simpanan dan terus menjadi sasaran.

Menurut Nadzim, kaedah yang digunakan scammer kini semakin canggih dan kompleks, termasuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), pelbagai aplikasi komunikasi serta panggilan antarabangsa bagi memperdaya mangsa.

“Kesan kepada mereka yang menjadi mangsa penipuan ini sangat berat sehingga ada yang mahu bunuh diri.

“Ada yang datang mengadu wang simpanan hari tua lesap dan tidak mampu lagi untuk bekerja kerana faktor usia.

“Ada juga modus operandi yang memancing mangsa mengeluarkan wang dalam jumlah kecil seperti RM500, tetapi dalam sehari jumlah mangsa yang tertipu berpuluh orang,” jelasnya.

Tambah beliau, kebanyakan mangsa ialah pesara kerajaan dan warga emas yang mudah mempercayai panggilan palsu kononnya daripada pegawai bank atau pihak berkuasa.

“Orang muda pun kena, tetapi paling ramai warga emas, pesara kerajaan. Mereka baru pencen, duit pun banyak dan mudah percaya.

“Soalnya, macam mana scammer ini tahu mereka ada banyak wang?” katanya.

Artikel oleh: Sinar Harian

TELCO WAJAR DIHUKUM GAGAL BENDUNG SCAMMER

https://www.sinarharian.com.my/article/754210/berita/nasional/telco-wajar-dihukum-gagal-bendung-scammer

Comments
* The email will not be published on the website.