KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyeru umat Islam di negara ini untuk melaksanakan boikot besar-besaran terhadap produk dan syarikat yang didakwa menekan serta bercanggah dengan nilai dan kepercayaan masyarakat Islam.
Presidennya, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan boikot bukan bertujuan memaksa mana-mana pihak, sebaliknya merupakan manifestasi kuasa pengguna dalam menzahirkan pendirian dan prinsip mereka.
“Rezeki datang daripada Allah, bukan daripada syarikat,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Nadzim turut mengingatkan pengguna perlu bersatu dan berani bertindak, khususnya dalam mempertahankan maruah dan nilai yang menjadi asas kehidupan masyarakat Islam di negara ini.
Dalam pada itu, PPIM turut mengumumkan penubuhan Sekretariat Boikot yang akan menyelaras kempen secara lebih tersusun dan berterusan.
Sekretariat tersebut akan melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pendidik serta komuniti di seluruh negara.
“Tindakan ini adalah senjata aman pengguna dalam menegakkan hak dan mendesak tanggungjawab sosial korporat agar dihormati,” tambah Nadzim.
PPIM berharap kempen akan menjadi titik tolak kepada gelombang kesedaran yang lebih besar dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya umat Islam untuk lebih peka terhadap aspek etika dan prinsip dalam membuat keputusan sebagai pengguna. – MalaysiaGazette
Artikel oleh: Malaysia Gazette
LAKSANA BOIKOT BESAR-BESARAN, TUBUH SEKRETARIAT KHAS - PPIM
https://malaysiagazette.com/2025/10/21/laksana-boikot-besar-besaran-tubuh-sekretariat-khas-ppim/