KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tampil memberi penjelasan berhubung isu tular melibatkan makanan kucing yang didakwa mengandungi bahan berasaskan babi, sekali gus menimbulkan kerisauan dalam kalangan pengguna Muslim.
Penasihat Agama PPIM, Ahmad Shahdan menjelaskan, meskipun kucing tidak tergolong dalam golongan mukallaf atau individu yang tertakluk kepada hukum syarak, tanggungjawab tetap terletak pada pemilik atau penjaganya yang beragama Islam.
“Kucing tidak ditaklifkan kerana mereka tiada agama. Namun, yang memegang, memberi makan dan menjaganya adalah manusia.
“Nabi Muhammad SAW bersabda kucing bukan najis dan ia adalah haiwan yang suci,” katanya menerus sebuah video ringkas.
Menurut beliau, penilaian terhadap hukum najis perlu dibuat berdasarkan bentuk bahan sama ada bersifat cecair (ma’i’at) atau pejal.
Katanya, jika makanan tersebut bersifat cecair dan mengandungi unsur babi, maka ia tergolong dalam najis berat (mughalazah) sekiranya disentuh dalam keadaan basah.
“Jika terkena pakaian, tempat atau tubuh, ia perlu disamak dengan tujuh kali basuhan, termasuk sekali dengan tanah. Perkara ini penting khususnya bagi mereka yang membawa kucing ke masjid atau kawasan solat,” ujarnya.
Pada masa sama, Ahmad turut mengingatkan bahawa sumber asal bahan makanan turut memainkan peranan penting dalam hukum halal dan haram.
“
Jika makanan itu dibuat daripada bahan najis seperti babi atau anjing, maka hukum penggunaannya adalah haram, termasuk dalam urusan jual beli. Dalam mazhab Syafi’i, jual beli sesuatu yang ada unsur najis adalah haram. Umat Islam perlu lebih berhati-hati dan pastikan setiap produk yang dibeli mempunyai pengesahan halal,” tegasnya.
PPIM turut menasihatkan pengguna Muslim agar meneliti label kandungan bahan sebelum membuat pembelian serta memilih produk yang jelas status halalnya. – MalaysiaGazette
Artikel oleh: Malaysia Gazette
PPIM PERJELAS ISU MAKANAN KUCING DIDAKWA BERASASKAN BABI
https://malaysiagazette.com/2025/10/11/ppim-perjelas-isu-makanan-kucing-didakwa-berasaskan-babi