30 Sep
30Sep

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan subsidi bersasar menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) disifatkan langkah efektif kerajaan dalam memastikan rakyat terus dibantu, di samping mengawal ketirisan serta memperkukuh kedudukan fiskal negara.

Pensyarah Keusahawanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Abdul Rahman Jaaffar, berkata meskipun setiap skim subsidi berpotensi berlaku penyelewengan, kerajaan memilih pendekatan paling praktikal dengan mengutamakan kemudahan rakyat.

"Dari segi pendapatan isi rumah, memang akan timbul pelbagai isu termasuk disposable household. Malah, aspek pengesahan ketika pembelian juga wajar diberi perhatian.

"Namun, jika diteliti secara keseluruhan, subsidi bersasar tetap pilihan terbaik untuk rakyat dan negara," katanya kepada BH.

Menurut Abdul Rahman, antara cabaran utama ialah risiko penyalahgunaan MyKad oleh warga asing bagi mendapatkan subsidi petrol, selain aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan.

Katanya, isu ini perlu ditangani segera dengan pendekatan lebih ketat pada peringkat penguatkuasaan.

"Langkah ini dijangka mampu mengurangkan penyeludupan petrol yang sebelum ini berleluasa di sempadan. Penjimatan pula dianggarkan antara RM5 bilion hingga RM7 bilion setahun, sekali gus membantu pemulihan fiskal negara," jelasnya.

Beliau turut mencadangkan supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama agensi penguat kuasa mempertingkat rondaan serta pemantauan bagi memastikan skim itu berkesan.

Sementara itu, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menjangkakan BUDI95 menerima sambutan luar biasa apabila sehingga enam juta pengguna dijangka mengisi petrol pada minggu pertama pelaksanaannya, berbanding purata harian tiga hingga empat juta pengguna sebelum ini.

Beri maklumat tepat

Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, berkata angka itu berdasarkan penelitian awal terhadap penerimaan rakyat, sekali gus membuktikan keyakinan tinggi terhadap inisiatif kerajaan berkenaan.

"Sebagai persediaan, pengusaha stesen minyak disaran menambah pekerja sambilan untuk mengurangkan kesesakan ketika minggu awal pelancaran.

"Pada 27 September lalu, sistem percubaan sudah dilaksanakan untuk anggota polis dan tentera yang menikmati harga subsidi tiga hari lebih awal, menggunakan sistem verifikasi baharu yang diintegrasikan dengan pam sedia ada," katanya.

Beliau menasihatkan, pengusaha serta pekerja stesen minyak memberi maklumat tepat kepada pengguna, selain mengingatkan bahawa pertanyaan mengenai kelayakan dan had subsidi perlu dirujuk terus ke talian bantuan BUDI95 di 1300-88-9595, bukan kepada stesen minyak.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut menyambut baik pelaksanaan BUDI95, namun menggesa kerajaan lebih tegas membanteras ketirisan petrol bersubsidi yang kerap berlaku di sempadan.

Ketua Aktivisnya, Nadzim Johan, menegaskan rakyat tidak boleh berdiam diri sebaliknya menjadi 'mata dan telinga' pihak berkuasa dengan melaporkan kegiatan penyeludupan.

"Penyeludup mengambil kesempatan daripada perbezaan harga petrol di Malaysia dan negara jiran untuk kaut keuntungan besar. Ia bukan sahaja merugikan negara, malah menjejaskan bekalan untuk pengguna yang layak.

"Apabila harga pasaran tidak lagi disubsidi secara pukal, perbezaan harga akan berkurang dan aktiviti penyeludupan tidak lagi menguntungkan. Ini melemahkan pasaran gelap," katanya.

PPIM yakin, dengan kerjasama semua pihak, subsidi dapat disalurkan tepat kepada golongan memerlukan selain mewujudkan pasaran bahan api lebih adil serta mampan.

Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, mengingatkan ketirisan tetap berisiko berlaku jika pemantauan tidak diperkasakan.

"Sekiranya berlaku pembaziran, kerajaan terpaksa terus berbelanja tetapi bantuan tidak sampai kepada golongan sasaran. Ini akan mengekang keupayaan kerajaan untuk menyalurkan bantuan secara berkesan kerana sumber adalah terhad," katanya.

Sementara itu, sejak portal BUDI95 dilancarkan pada 25 September lalu, lebih 8.1 juta pengguna telah membuat semakan kelayakan untuk menerima subsidi RON95.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan merujuk soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BUDI95 di www.budimadani.gov.my atau menghubungi 1-300-88-9595.

Artikel oleh: Berita Harian

BUDI95 LANGKAH EFEKTIF KERAJAAN BANTU RAKYAT, KAWAL KETIRISAN

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/09/1451710/budi95-langkah-efektif-kerajaan-bantu-rakyat-kawal-ketirisan

Comments
* The email will not be published on the website.