30 Sep
30Sep

Nibong Tebal: Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengambil tindakan segera dengan menyiasat aduan membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang didakwa mengalami tekanan emosi serius selepas berulang kali menjadi mangsa buli di sebuah sekolah menengah di Hulu Langat, Selangor.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengambil serius mengenai dakwaan berkenaan dan siasatan kes itu dijalankan Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad.

"Perkara ini memang sudah dalam tindakan dan kita sedang siasat kerana aduan (buli yang dikemukakan) itu harus diambil tindakan segera.

"Jadi Ketua Pengarah Pendidikan sedang menyiasat dan kita (KPM) akan ambil tindakan seterusnya (jika ada unsur seperti didakwa)," katanya ketika ditanya berhubung aduan yang dibuat ibu mangsa menerusi satu sidang media di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan ibu mangsa, Nurul Afeeza Mohd Tarmedi, 31, dilaporkan berkata, anaknya itu pernah beberapa kali menceritakan kejadian dibuli sejak berpindah ke sekolah itu iaitu pada Julai lalu, namun masalah terbabit tidak pernah selesai walaupun aduan dibuat kepada pihak sekolah.

Suri rumah itu mendakwa anaknya dibuli oleh beberapa pelajar sama seawal hari kedua memasuki sekolah terbabit selepas anaknya berpindah dari sebuah sekolah di Kedah.

Sementara itu, Fadhlina ketika ditanya mengenai perkembangan isu fitnah yang mengaitkannya dengan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha memaklumkan kes itu sedang dalam tindakan peguamnya.

"Peguam sedang ambil tindakan. Kita dah serahkan pada peguam," katanya.

Baru-baru ini, Fadhlina membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berikutan fitnah mengenai kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Artikel oleh: Harian Metro

KPM SEDANG SIASAT KES BULI PELAJAR PEREMPUAN DI HULU LANGAT

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/09/1268771/kpm-sedang-siasat-kes-buli-pelajar-perempuan-di-hulu-langat

Comments
* The email will not be published on the website.