KUALA LUMPUR – Belum pun selesai kematian pelajar tingkatan satu dan pelatih Palapes dipercayai akibat buli kini timbul pula kes sama melibatkan remaja bawah umur di Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
Oleh kerana perlakuan buli itu didakwa cuba disembunyikan pihak sekolah malah ada di antara kes itu berlarutan hingga dua tahun, pihak keluarga tiada pilihan selain merujuk kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, lebih malang apabila perlakuan buli itu melibatkan banyak pihak termasuk guru, kepimpinan tertinggi sekolah dan persatuan guru dan ibu bapa (PIBG) serta rakan sebaya.
Menurut beliau, sudah sampainya kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan (KPM) dan campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkah perlakuan buli secara tuntas di semua institusi pendidikan di negara ini.
“Perkara ini begitu bahaya, saya minta Menteri (Pendidikan) sendiri ambil tindakan, contohnya haramkan perkara ini di sekolah, kita letak satu garis panduan. Menteri ada executive order, suruh sahaja terpaksa ikut, dia boleh buat macam-macam.
“Kita kena berubah, nak tunggu apa lagi, saya ini nasihat kepada Menteri (Fadhlina Sidek), kalau menteri tak boleh buka mulut, kita minta Perdana Menteri, arah sahaja, besar sangat ker (halangannya).
“Kalau PM tak boleh buat, saya pun tak tahu siapa nak buat, pasal benda ini (makin serius) sebab libatkan kematian dan kecederaan, malah tiada sebab (lengah).
“Menteri atau PM sendiri ada kuasa, boleh turun padang, ajar beruk-beruk ini, tak salah pun,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini, negara digemparkan dengan kematian pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir,13, dan pelatih Palapes Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, dipercayai akibat dibuli.
Dalam pada itu, Nadzim juga mencadangkan agar perbuatan buli dikategorikan sebagai perlakuan jenayah dan ia perlu dikuatkuasakan bermula di peringkat sekolah.
“Kita gagal menangani kes buli dengan sebaik mungkin. Ada juga kes mangsa buli sampai dia membalas balik (perbuatan buli) hingga rosak (masyarakat). Kalau orang dah buat kurang ajar mungkin jawabnya kurang ajar juga, takkan nak biar sahaja.
“Kategorikan buli ini sebagai satu jenayah supaya perkara ini boleh dihentikan serta-merta sebab sudah ramai yang cedera, beribu orang yang terkesan, nak tunggu apa lagi,” katanya.
Nadzim juga berkata, sudah sampai masanya orang Melayu bangkit dan menolak sekeras-kerasnya budaya negatif yang diwarisi sejak turun-temurun itu.
“Buli ini perlu dihentikan serta-merta kerana merupakan budaya pengecut, budaya bodoh dan budaya tiada otak.
“Dalam kehidupan ini pun, kalau kita dibuli oleh mana-mana pihak sama ada pekedai, peniaga atau kawan sendiri pun, kita tak boleh terima tapi orang Melayu ini sudah terlalu lama, ikut sahaja, budaya ini kena ubah,” katanya.
Katanya lagi, anak-anak remaja juga perlu didedahkan kepada seni membela diri di sekolah sebagai langkah alternatif untuk mengelakkan diri mereka dibuli dan mempertahankan diri.
“Alhamdulillah dia (mangsa) belajar tomoi, kalau anak saya, saya suruh lempang balik, kena ajar (pembuli) mungkin kawan kita tak bersetuju tapi pandangan kita berbeza.
“Kalau di kolej, apa sebab orang nak buli, budaya ini cukup lama, seingat saya sejak tahun 60-an lagi di mana ada pelajar Universiti Pertanian dulu, dia ambil tahi lembu, bancuh dan air siram, letak kepala dan pam (tandas) perbuatan ini tiada otak.
“Orang yang buli ini tiada moral, akhlaknya teruk, saya nak orang ramai bersama kita hentikan buli,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Artikel oleh: Malaysia Gazette
PM PERLU CAMPUR TANGAN, HENTIKAN BULI DI SEKOLAH - NADZIM
https://malaysiagazette.com/2025/09/23/pm-perlu-campur-tangan-hentikan-buli-di-sekolah-nadzim/