KUALA LUMPUR: Garis panduan menangani kes buli mesti diperketat dengan budaya itu mesti diharamkan sepenuhnya daripada berlaku di sekolah.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata walaupun ada garis panduan pengurusan buli di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), namun ia dilihat tidak berkesan dengan kes sedemikian sebaliknya semakin menjadi-jadi dan terus bertambah.
"Letakkan satu garis panduan yang tegas iaitu haramkan terus perkara ini daripada berlaku di sekolah.
"Ketika ini kita tak nampak satu tindakan jelas daripada KPM, sedangkan Menteri Pendidikan misalnya melalui 'executive order' boleh arahkan, misalnya letakkan kes buli ini sebagai jenayah.
"Sekarang ini dah beratus, malah mungkin puluhan ribu budak yang kena buli, nak tunggu apa lagi? Kita juga minta Perdana Menteri arahkanlah (tindakan lebih proaktif atasi buli di sekolah), sebab perkara ini dah terlalu meruncing," katanya pada sidang media khas berkaitan kes buli membabitkan tiga pelajar di pejabatnya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, tindakan 'you touch, you go' diambil Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagi menangani kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) wajar dipertimbangkan kerajaan dalam usaha menangani kes buli di sekolah secara menyeluruh.
"Satu cadangan saya, ambillah tindakan seperti MRSM buat, tunjukkanlah keseriusan dalam tangani isu ini.
"Selain itu, dalam garis panduan KPM, perlu ada galakan untuk menggalakkan sukarelawan yang bersama-sama menjadi mata dan telinga (bagi mengesan kes buli di sekolah) dan menjadi antara pihak yang menyumbang kepada perubahan ini.
"Ia dah berlarutan dan PPIM sendiri terima banyak aduan buli, takkan kita nak biarkan, malah ramai yang tak berani ke depan. Ini adalah manifesti kegagalan di sekolah. Sekarang ini kes buli bukan hanya berlaku disebabkan perbuatan pelajar, ada aduan kaitkan guru juga membuli.
"Ini akan merosakkan masyarakat, apa lagi bila ada budak yang dibuli ini dia balas balik, buli semula orang yang melakukan perbuatan itu kepadanya," katanya.
Beliau turut menyarankan mana-mana individu yang menjadi mangsa buli supaya membuat aduan melalui Anti Bully Centre (ABC) yang dilancarkan PPIM.
Katanya, pusat itu diwujudkan bagi memberi ruang kepada mangsa atau saksi kejadian buli membuat laporan tanpa rasa takut, selain menjadi saluran cadangan bagi membendung perbuatan tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan buli boleh menghubungi talian 013-611 6666.
Artikel oleh: Berita Harian