24 Sep
24Sep

Kuala Lumpur: "Dia lukis gambar menyerupai makhluk aneh yang ngeri dan menyeramkan, ketika itu baru saya tahu dia rupa-rupanya kemurungan, malah dia turut kelar tangan di sekolah ketika tiada murid lain dalam kelas."

Itu luahan Nurul Afeeza Mohd Tarmedi, ibu kepada seorang murid perempuan Tingkatan Dua yang mendakwa anaknya dibuli rakan sekelas di sebuah sekolah menengah harian di Hulu Langat.

Nurul Afeeza yang juga ibu tunggal berkata, anaknya dibuli seawal hari kedua berpindah ke sekolah terbabit pada Julai lalu.

"Saya tak tahu pun dia dibuli, dia tak pernah berkongsi cuma banyak berkurung dalam bilik.

"Saya perasan dia banyak asingkan diri, saya hanya tahu dia rupa-rupanya murung akibat dibuli sebelum cuti sekolah, itu pun bila adiknya beritahu kakak lukis gambar mengerikan.

"Jadi saya cuba tanya, dia beritahu tertekan, selalu kena ejek di sekolah sebab giginya agak ke depan (jongang), dia juga dipulaukan rakan-rakan dan perbuatan (mengejek) itu berlaku berhari-hari," katanya pada sidang media di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini, hari ini.

Nurul Afeeza turut kesal kerana mendakwa pihak sekolah tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi isu terbabit.

Katanya, beliau sudah berjumpa dengan guru kaunseling dan guru disiplin, namun tindakan buli terhadap anaknya masih berlarutan.

"Saya mengadu kepada guru disiplin yang ada murid tarik rambutnya dan ejek, kejadian ini baru lagi, 12 September lalu. Saya juga maklumkan anak saya lukis gambar yang mengerikan, malangnya cikgu seperti tak ambil serius.

"Cikgu cuma beritahu minta anak saya pergi sekolah tapi tak dibenarkan jumpa murid (yang buli) disebabkan ada SOP, sedangkan anak saya dibuli sebegini, tak ada pula ikut SOP, sampai kelar tangan sendiri, itu yang saya tak boleh terima," katanya.

Adik perempuan sebulan tak ke sekolah, trauma dipukul dan disepak

Sementara itu, kakak kepada seorang lagi mangsa buli berusia 14 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Wan Norasyirah, 24, berkata adik perempuannya itu sudah sebulan tidak ke sekolah kerana trauma selepas dipukul dan disepak pelaku yang juga pelajar perempuan.

Katanya, adiknya mengadu tudung ditarik, muka dipukul dengan tumbler kaca dan disepak di bahagian belakang badan.

"Saya dan keluarga belum sempat buat laporan polis kerana adik baru beritahu insiden dibuli di sekolah, lama dia pendam seorang. Nak gali cerita daripada dia sangat susah sebab dia tak nak berkongsi.

"Bila maklumkan pada cikgu yang dia disepak terajang, adik maklumkan cikgu memihak kepada si pembuli dan dia langsung tak diberikan peluang untuk membela diri.

"Malah, dalam keadaan sekarang adik saya yang dah sebulan tak hadir sekolah, tak ada cikgu yang mencari atau cuba hubungi kami. Bila kami tanya sekolah, mereka hanya maklumkan sepatutnya ibu bapa yang beritahu sekolah (jika tak hadir)," katanya.

Mereka rahsiakan, minta anak saya tandatangan surat tak berlaku buli di sekolah

Sementara itu, bapa kepada seorang pelajar Tingkatan Tiga di Cheras, Mohd Izham Zakri Mohd Desa kecewa kerana aduan dibuatnya di sekolah mengenai kes anaknya ditampar rakan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Katanya, anaknya turut menghadapi kes buli fizikal dan buli siber membabitkan beberapa guru di sekolah.

"Anak saya aktif dalam sukan malah mewakili sekolah dalam pasukan bola sepak hingga ke peringkat negeri. Apa yang saya kesalkan, cikgu tahu anak saya dibuli dari 2023 sampai sekarang tapi saya tak diberitahu.

"Mereka rahsiakan perkara ini, malah dalam diam minta anak saya tandatangan satu surat menyatakan tak berlaku buli di sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa.

"Malah, ada guru pula yang buat laporan polis ke atas saya, kononnya saya campur tangan hal sekolah," katanya yang memberitahu sudah membuat laporan polis dan melalui SISPAA (Sistem Pengurusan Aduan Awam).

Katanya, beliau berharap Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan anaknya terus menjadi mangsa buli dalam kalangan guru dan pelajar di sekolah.

Artikel oleh: Harian Metro

PELAJAR DIBULI LUKIS MAKHLUK ANEH, KELAR TANGAN DI SEKOLAH

https://www.hmetro.com.my/utama/2025/09/1267235/pelajar-dibuli-lukis-makhluk-aneh-kelar-tangan-di-sekolah

Comments
* The email will not be published on the website.