08 Sep
08Sep

Kuala Lumpur: Satu tindakan bersama perlu dilaksanakan kerajaan serta pihak industri termasuk peniaga runcit bagi menangani isu dakwaan Beras Putih Tempatan (BPT) dibolot pekerja warga asing di negara ini.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Zharif Johor berkata, kerajaan perlu menetapkan tindakan seperti menggubal akta jelas bagi menafikan penjualan BPT kepada warga asing.

"Pihak industri perlu mengawal rantaian edaran BPT, manakala peruncit perlu memastikan penjualan hanya kepada individu tempatan.

"Secara peribadi, saya merasakan tindakan itu memerlukan usaha yang sangat besar bagi mengawal perkara berkenaan dan ia masih jauh serta mungkin sukar dilaksanakan segera," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Aktiviti Surplus Sophian Mohd Zain berkata, dakwaan mengejutkan bahawa pekerja asing membolot BPT adalah satu pengkhianatan kepada hak individu tempatan.

"Ketiadaan sistem pengesanan berkesan serta penguatkuasaan yang lemah menyebabkan beras subsidi mudah disembunyi, dicampur dan disalurkan tnpa sempadan.

"Ia kemudian dibeli oleh pekerja warga asing, pendatang haram, pelarian serta penceroboh yang dijual semula oleh pemborong dan menyebabkan kekurangan bekalan BPT di pasaran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Justeru itu, beliau mencadangkan pembelian BPT disertakan dengan pengesahan kad pengenalan sistem digital yang membezakan individu tempatan dengan warga asing.

"Selain itu, hadkan pembelian kepada isi rumah bukan individu tanpa rekod sah dengan maklumat diperoleh menerusi kewujudan pangkalan data subsidi yang menyenaraikan individu layak membeli barangan keperluan bersubsidi seperti BPT dan lain-lain.

"Pihak penguatkuasaan pula perlu bergabung bukan hanya untuk menahan penjaja warga asing tetapi juga menyiasat pemborong bersubahat dengan kartel menyalurkan stok kepada warga asing.

"Pada masa sama, syarikat yang menggajikan pekerja warga asing perlu mengisytiharkan penyediaan makanan mereka dan bukannya membeli stok subsidi sesuka hati di pasaran," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

BERTINDAK ATASI BERAS PUTIH TEMPATAN DIBOLOT WARGA ASING

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/09/1260937/bertindak-atasi-beras-putih-tempatan-dibolot-warga-asing

Comments
* The email will not be published on the website.