03 Sep
03Sep

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung pemindahan tanah rizab Melayu (TRM) kepada syarikat bukan Bumiputera yang didakwa berlaku di negeri Perak.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima beberapa aduan mengenai perkara itu yang turut terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019.

Menurutnya, siasatan mendapati tanah milik agensi kerajaan yang terletak di dua kawasan di negeri berkenaan dipindah milik dalam bentuk saham kepada dua syarikat bukan Bumiputera.

Beliau berkata, lebih mengejutkan sebahagian besar tanah itu sudah diberi kebenaran pecah lot untuk tujuan perumahan dan dijual kepada bukan Melayu.

"Penukaran tanah dilakukan melalui pemindahan saham syarikat kerana tanah dimiliki syarikat. Jadi sesiapa saja boleh beli tanah itu termasuk bukan warganegara melalui pertukaran saham syarikat, walaupun ia TRM.

"Perkara ini perlu dilihat oleh SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) dan polis sama ada berlaku salah laku atau pemalsuan kerana memang jelas tanah tidak boleh dipindah milik kecuali mendapat kebenaran atau kelulusan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Menara KPJ di sini, hari ini.

Nadzim berkata, PPIM juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan menuntut satu siasatan menyeluruh dijalankan pihak berkuasa bagi mengenal pasti sama ada terdapat penipuan, pemalsuan dokumen serta salah guna kuasa oleh pihak tertentu.

Katanya, menjadi persoalan pihaknya bagaimana TRM boleh dipindah milik kepada bukan Melayu dan siapa yang meluluskan pemindahan itu?

"Kami meminta pihak JSJK untuk menyiasat dengan telus dan jujur supaya hak orang Melayu dipelihara serta tidak digadai kepada bukan Melayu dengan menerima suapan," katanya.

Beliau juga berharap pihak terbabit dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira pangkat atau kuasa, sekiranya didapati wujud kelakuan jenayah.

Pada 2023, media pernah menyiarkan laporan mengenai pengurusan tanah rizab Melayu di Perak dikesan kurang cekap sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 3,214 hektar tanah rizab Melayu dipindah milik kepada bukan Melayu secara tidak sah.

Tindakan itu bertentangan dengan Seksyen 19 Enakmen Rizab Melayu 142 dan tidak mengikut Seksyen 419 Kanun Tanah Negara.

Perkara itu didedahkan Jabatan Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 (Siri 2) Aktiviti Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 28 September 2021.

Artikel oleh: Harian Metro

TRM DIPINDAH MILIK KEPADA SYARIKAT BUKAN BUMIPUTERA, PPIM GESA SIASATAN

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/08/1257989/trm-dipindah-milik-kepada-syarikat-bukan-bumiputera-ppim-gesa-siasatan

Comments
* The email will not be published on the website.