08 Jul
08Jul

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu menyemak semula undang-undang serta prosedur berkaitan tindakan penarikan balik kenderaan yang didakwa semakin tidak beretika.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ini susulan terdapat segelintir ejen tarik kenderaan bertindak keterlaluan sehingga menceroboh kawasan kediaman berpagar tanpa kebenaran sah, sambil mendakwa mempunyai writ mahkamah untuk menarik kereta.

“Mereka kata boleh tarik bila-bila masa termasuk tengah malam. Mana ada undang-undang begitu? Selain bertindak seperti gengsterisme, bank pula serah semua kuasa kepada ejen tanpa pemantauan dan ia mesti dihentikan.

“Kita nak tahu siapa yang proses benda ini? Hari apa boleh tarik? Siapa luluskan? Kena ada semakan semula. Jangan sampai berlaku kejadian tak diingini,” katanya kepada Sinar Harian.

Sabtu lalu, tular video di media sosial yang memaparkan Nadzim dilihat memarahi seseorang dipercayai ejen penarik kereta yang masuk ke sebuah kondominium di Kuala Lumpur dipercayai untuk menarik kereta.

Nadzim melihat beberapa dokumen mengenai kejadian terbaru membabitkan ejen tarik kenderaan.

Kekecohan tercetus disebabkan tindakan individu itu yang masuk tanpa kebenaran termasuk melangkah palang keselamatan.

Menurut Nadzim, kesahihan dokumen mahkamah yang didakwa pihak ejen tidak dapat disemak atas faktor pejabat kerajaan dan mahkamah tutup.

“Saya turun ke lokasi selepas dimaklumkan oleh pihak pengurusan kediaman. Mereka kata ada perintah mahkamah, tapi (apa) yang ditunjuk hanya salinan fotostat. Kita perlukan dokumen asal.

“Selepas perbincangan mereka bersetuju untuk datang pada hari Isnin. Bagaimanapun, mereka datang pada awal pagi dan bertindak masuk kawasan tanpa menunggu kita membuat semakan kepada pihak berkenaan terlebih dahulu.

“Mereka nak tarik sebuah kereta Nissan, tunggakan pun cuma RM12,000. Tapi datang 20 orang macam nak pergi perang,” katanya.

Tambah Nadzim, mangsa pula bukan pemilik, tetapi hanya penjamin selain memaklumkan tidak dapat membuat pembayaran susulan menjalani rawatan kanser.

“Kalau kereta dilelong nanti pun, dia tak dapat apa-apa walaupun nilai kereta RM50,000 ke RM60,000,” ujarnya.

Beliau berkata, PPIM akan mengadakan pertemuan dengan KPDN dalam masa terdekat dan mengalu-alukan siasatan BNM terhadap institusi perbankan yang terlibat dalam amalan penarikan kereta secara tidak sah.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM GESA KAJI SEMULA PROSEDUR TARIK KERETA

https://www.sinarharian.com.my/article/737103/berita/nasional/ppim-gesa-kaji-semula-prosedur-tarik-kereta

Comments
* The email will not be published on the website.