20 Jun
20Jun

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) dan pihak berwajib mengambil tindakan tegas serta mewajibkan pelaksanaan langkah khusus terhadap kenderaan awam bagi mengelakkan kejadian kemalangan maut.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya memandang serius kekerapan kemalangan melibatkan pengangkutan awam yang menyebabkan kehilangan nyawa, termasuk tragedi membabitkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini serta sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan dengan lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Perak awal Mei lalu.

Menurutnya, kejadian seperti itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat, khususnya ibu bapa penuntut yang menyuarakan kegusaran mereka kepada PPIM.

“Cabaran utama dalam isu ini ialah kelajuan, selain faktor lain seperti aspek keselamatan dan keadaan fizikal kenderaan, termasuk penggunaan tali pinggang keledar.

“Perkara ini perlu diberi perhatian, termasuk pelaksanaan audit serta tindakan susulan secara proaktif selepas sesuatu kemalangan berlaku, bagi mengelakkan kejadian berulang,” katanya dalam sidang media di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, insiden yang meragut nyawa 15 pelajar UPSI dalam kemalangan di Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik pada 9 Jun lalu, bukan disebabkan oleh masalah mekanikal kenderaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan bahawa pihak kementerian telah mengambil langkah proaktif dengan menyiarkan penemuan awal berhubung kemalangan tersebut.

Dalam pada itu, PPIM turut menekankan pelaksanaan kempen Berani Tegur, yang menggalakkan orang ramai agar tidak takut untuk menegur atau membuat aduan sekiranya pemandu kenderaan memandu dalam keadaan laju dan berbahaya.

Nadzim turut mencadangkan pemasangan sistem siren atau lampu dalam kenderaan awam yang berfungsi memberi amaran secara automatik sekiranya kenderaan dipandu melebihi had laju atau secara berisiko.

“Pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan, dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke perlu bertindak segera kerana kita tidak mahu lagi mendengar berita menyayat hati seperti ini.

“Kerajaan boleh mempertimbangkan penggunaan penghadang jalan yang lebih selamat (yang mengurangkan risiko kecederaan), selain memberi perhatian kepada faktor keadaan jalan raya seperti jalan berlubang yang berpotensi menyumbang kepada kemalangan maut.

“Kita juga berharap semua kenderaan awam dilengkapi dengan alat dan ciri keselamatan yang dipantau secara rapi,” katanya.

Dalam pada itu, Nadzim menyarankan agar masyarakat berani menegur individu yang melakukan kesalahan dalam apa jua keadaan bagi memupuk budaya cakna dan mencegah kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM DESAK MOT, AGENSI BERKAITAN PERKETAT KESELAMATAN KENDERAAN AWAM

https://www.sinarharian.com.my/article/734571/berita/semasa/kemalangan-bas-ppim-gesa-tindakan-tegas-daripada-mot-pihak-berkuasa

Comments
* The email will not be published on the website.