19 Jun
19Jun

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) dan pihak berwajib mengambil tindakan tegas serta mewajibkan pelaksanaan khusus bagi kenderaan awam untuk mengelakkan kemalangan maut terus berulang.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, Menteri Pengangkutan Anthony Loke perlu mengambil perhatian serius dan tindakan susulan terhadap kejadian kemalangan maut yang berlaku termasuk mengorbankan 15 penuntut universiti, baru-baru ini.

Katanya, perkara itu juga menimbulkan kerisauan rakyat terutama ibu bapa penuntut yang diadukan kepada pihaknya terhadap kejadian seumpama itu kerana membabitkan nyawa dan keselamatan.

"Cabaran utama kita dalam isu ini adalah kelajuan selain faktor lain seperti isu keselamatan dan fizikal termasuk bas, penggunaan tali pinggang keledar kenderaan.

"Perkara ini perlu dilihat termasuk melakukan audit dan tindakan susulan selepas kemalangan kerana kita mahu mengelakkan ia berulang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga menekankan dan membawa kempen Berani Tegur supaya semua orang tidak takut untuk menegur atau membuat laporan sekiranya pemandu kenderaan memandu dalam keadaan laju dan berbahaya.

Katanya, selain itu sistem pemantauan juga perlu ditingkatkan selain turut mencadangkan pemasangan siren atau lampu dalam kenderaan yang akan berbunyi serta bernyala jika kenderaan itu dipandu laju dan berbahaya.

"Pihak kerajaan juga perlu memainkan peranan dan Anthony juga perlu melakukan sesuatu kerana kita sudah tidak mahu menghadapi berita seumpama ini.

"(Mungkin kerajaan boleh melihat) penghadang jalan baharu yang kurang bahaya (mengurangkan risiko kecederaan) selain faktor keadaan jalan raya yang tak selamat, jalan berlubang berisiko membawa kepada kemalangan maut.

"Kita juga berharap semua kenderaan dilengkapi dengan alat dan aspek keselamatan serta ia dipantau dengan rapi," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

PPIM GESA MOT WAJIBKAN LANGKAH KESELAMATAN KENDERAAN AWAM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/06/1231814/ppim-gesa-mot-wajibkan-langkah-keselamatan-kenderaan-awam

Comments
* The email will not be published on the website.