KUALA LUMPUR - Panduan al-Quran dalam konteks ekonomi global bakal menjadi topik perbincangan sempena World #QuranConvention pada 13 dan 14 Disember depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, program ‘Reflecting on the Quran and The Global Economy’ bersama Nouman Ali Khan kali ini ialah pengenalan atau ‘teaser’ kepada penganjuran acara tersebut.
Menurut beliau, kali ini WUIF menjemput golongan sasar seperti usahawan, pakar ekonomi dan al-Quran serta ahli akademik untuk membahas tentang keperluan.
Antara VVIP yang hadir ke program ‘Reflecting on the Quran and The Global Economy’. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.
“Sebelum ini kita mencapai tahap pengguna sahaja, orang-orang yang mungkin berminat kepada al-Quran, tetapi pemimpinnya tak ramai atau berkurang.
“Jadi, apabila kita ketengahkan isu ekonomi, diharapkan ramai pemimpin atau ketua sesebuah organisasi mahupun syarikat akan bangkit.
“Memang kita nak melahirkan pengguna yang ada merit, ada nilai. Tetapi, ia perlu seiring dengan jumlah pemimpin, penggubal dasar yang ramai dan boleh buat sesuatu untuk wujudkan satu wilayah dalam misi membina empayar perdagangan Islamik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program bual bicara bersama Nouman Ali Khan di Masjid Wilayah, di sini pada Ahad.
Dewan Serbaguna Masjid Wilayah penuh dengan kehadiran pengunjung ketika program ‘Reflecting on the Quran and The Global Economy’ di sini pada Ahad. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Hadir sama, Pengasas WUIF merangkap Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; bekas Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI) Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Aktiviti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Pemilihan Surah al-Saff turut ditekankan dalam World #QuranConvention tahun ini yang bukan sahaja menekankan penyelesaian terhadap isu ekonomi global, malah merangkumi perjuangan para nabi dalam aspek dakwah dan akidah.
Sementara itu, Marhaini memaklumkan, penganjuran World #QuranConvention diharap dapat membawa misi transformasi ekonomi yang mampu menjadi penyelesaian kepada krisis ekonomi sedia ada.
“Kita harap banyak idea dan kaedah penyelesaian dapat diketengahkan untuk memperkukuh ekonomi Islam berpandukan al-Quran,” ujarnya lagi.
Orang ramai dijemput menyertai World #QuranConvention dengan mendaftar di https://ezy.la/WQC2025.
Artikel oleh: Sinar Harian
WORLD #QURANCONVENTION 2025 TUMPU ISU EKONOMI GLOBAL, SERU KEBANGKITAN PEMIMPIM