17 May
17May

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyerahkan memorandum bantahan perjanjian pandemik dan Dasar Digital Negara kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada Jumaat.

Peguam mewakili PPIM, Adam Ahmad berkata, persatuan itu mendesak agar kerajaan tidak memasuki sebarang klausa perjanjian yang boleh menjejaskan hak rakyat dan kedaulatan negara khususnya dalam aspek kesihatan awam dan hak asasi manusia.

Menurut beliau, jika Malaysia menandatangani perjanjian pandemik bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu, negara dibimbangi akan hilang keupayaan untuk membuat keputusan sendiri dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun.

"Bidang kuasa Suhakam dalam perkara itu adalah untuk menyiasat dan menasihati kerajaan. Namun, suruhanjaya tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan tindakan.

"Sehubungan itu, kami datang menyerahkan memorandum tersebut supaya Suhakam dapat memainkan peranannya dalam menyuarakan isu ini kepada kerajaan," katanya kepada pemberita di lobi Menara TH Perdana di sini pada Jumaat.

Katanya lagi, PPIM turut menuntut agar kerajaan tidak menandatangani sebarang perjanjian dengan WHO yang berisiko menyekat kebebasan negara membuat keputusan sewaktu krisis kesihatan akan datang.

"Kami menggesa Suhakam melakukan siasatan dan menasihati kerajaan supaya tidak memasuki apa-apa klausa perjanjian dengan WHO.

"Jika klausa perjanjian itu dimasuki, kita tidak ada apa-apa pilihan kecuali terpaksa patuh kepada mereka dalam tempoh tiga tahun akan datang," ujar beliau.

Adam berkata, setakat ini, Suhakam memberikan maklum balas positif terhadap aduan dikemukakan PPIM dan meminta agar surat rasmi dihantar kepada Mahkamah Tinggi.

Jelasnya, langkah itu penting bagi membolehkan PPIM memohon peguam pemerhati daripada Suhakam turut serta dalam prosiding berkaitan isu tersebut.

"Kita juga akan tubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membawa semua kes ketidakadilan melibatkan mangsa vaksin untuk perhatian Suhakam," ujar beliau.

Jelas Adam, isu yang dibangkitkan itu berkait secara langsung dengan Revolusi Industri Keempat yang melibatkan usaha penghapusan manusia semula jadi dan integrasi teknologi ke dalam jasad manusia.

Beliau berkata, dalam memorandum itu, mereka turut mencabar tiga dokumen utama di mahkamah termasuklah Dasar Digital negara, Dasar Reset Malaysia dan bukti saintifik berkaitan Internet of Bodies (IoB).

Sementara itu, Penasihat PPIM, Datuk Asri Yusoff berkata, kerajaan dinasihatkan agar kerajaan tidak menandatangani sebarang bentuk perjanjian pandemik bersama WHO pada 19 Mei depan.

Menurut beliau, rakyat perlu sedar dan bangkit kerana perjanjian itu bakal menyerahkan kuasa kesihatan negara kepada pihak luar.

Justeru, beliau menggesa rakyat bersatu mempertahankan hak kesihatan negara dan tidak tunduk kepada tekanan antarabangsa dengan menghalang perjanjian tersebut ditandatangani.

Asri berkata, sekiranya perjanjian ditandatangani, tiada lagi kuasa yang boleh melawan badan pengelola kesihatan dunia itu memandangkan mereka menggunakan aspek kesihatan sebagai senjata.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM SERAH MEMORANDUM BANTAH PERJANJIAN PANDEMIK ANTARA KERAJAAN DENGAN WHO

https://www.sinarharian.com.my/article/728852/edisi/selangor-kl/ppim-serah-memorandum-bantah-perjanjian-pandemik-antara-kerajaan-dengan-who

Comments
* The email will not be published on the website.