12 May
12May

Walaupun Malaysia antara negara yang dikurniakan Allah dengan taburan hujan yang banyak, dan mempunyai simpanan air lebih 5 kali ganda dengan paras antarabangsa, namun pengurusan airnya juga mempunyai beberapa cabaran tersendiri.

Umum menyedari bahawa air bersih merupakan komoditi yang amat bernilai namun kian hari berhadapan ancaman daripada aspek ketersediaan akibat kecuaian pengurusan dan pencemaran.

Kemajuan industri dan pemodenan negara telah menimbulkan beberapa masalah alam sekitar yang menjejaskan kualiti dan kuantiti air negara.

Negara juga sedang berhadapan masalah air tidak terhasil (NRW) yang tinggi akibat infrastruktur usang dan kos penggantian dan penyelerenggaraan yang kian meningkat.

Untuk mendepani cabaran-cabaran ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memerlukan satu suntikan kepakaran yang mampu menggalas tugas untuk mengurangkan impak dan memperbaiki bekalan dan kualiti air negara.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik dan menyokong penuh pelantikan Datuk Ir. Abdul Kadir Mohd Din, FASc sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang baharu berkuat kuasa 5 Mei 2025 lalu.

Berdasarkan semakan PPIM, Abdul Kadir merupakan tokoh berpengalaman luas dalam industri perkhidmatan air dan pernah memegang beberapa jawatan strategik dalam organisasi berkaitan. Beliau juga aktif mempromosikan kemajuan industri melalui penglibatan sebagai penceramah, panelis dan moderator dalam pelbagai konvensyen, seminar serta persidangan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Selain itu, beliau turut dikenali sebagai pakar rujuk (subject matter expert) dan telah menyumbang ilmu serta kepakaran beliau kepada beberapa institusi pengajian tinggi tempatan melalui pelantikan sebagai pensyarah jemputan (adjunct lecturer). Ini menunjukkan komitmen beliau dalam memperkasa generasi profesional masa hadapan dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan air.

Antara sumbangan besar beliau termasuk penglibatan secara langsung dalam pembangunan dokumen Pelan Transformasi Air 2040, yang kini menjadi panduan utama dalam merealisasikan pembaharuan menyeluruh sektor air negara.

PPIM juga yakin bahawa selaku seorang profesional, beliau akan memanfaatkan segala pengetahuan dan pengalaman beliau di sepanjang karier beliau sebelum ini untuk memperhebat industri dengan penuh berintegriti. Pengalaman dan pengetahuan mendalam yang dimiliki beliau seharusnya dilihat sebagai nilai tambah yang mampu membantu melonjakkan industri air negara ke tahap yang lebih tinggi.

Berdasarkan kredibiliti dan rekod perkhidmatan beliau yang cemerlang, PPIM percaya bahawa pelantikan ini adalah langkah strategik yang dapat mempercepatkan proses reformasi sektor air — sejajar dengan aspirasi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Langkah melantik tokoh berpengalaman seperti Abdul Kadir juga dilihat selaras dengan dasar kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus melalui pelantikan individu berkelayakan profesional bagi mengetuai agensi-agensi penting negara.

SELAMAT MENJALANKAN AMANAH!

Comments
* The email will not be published on the website.