
PETALING JAYA: Orang ramai disaran membudayakan penjimatan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada perbelanjaan bulanan sebagai langkah membina persediaan menghadapi kemungkinan gangguan bekalan makanan, air dan elektrik susulan ketidaktentuan global.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, peringatan supaya isi rumah menyediakan bekalan asas sekurang-kurangnya untuk tempoh 72 jam tidak seharusnya mencetuskan kebimbangan sehingga mendorong pembelian panik.
Sebaliknya, katanya, situasi itu perlu dijadikan peluang untuk mendidik masyarakat supaya lebih berdisiplin dalam berbelanja, mengurangkan pembaziran dan menggunakan sumber sedia ada secara berhemah.
Beliau berkata, amalan mengurangkan perbelanjaan sebanyak 10 peratus boleh dimulakan dalam setiap aspek kehidupan termasuk penggunaan elektrik dan pembelian barangan keperluan harian.
“Kalau perbelanjaa\n elektrik RM200 sebulan, kita ikhtiarkan untuk kurangkan 10 peratus. Jumlah itu munasabah dan tidak terlalu membebankan.
“Semua perbelanjaan boleh dijimatkan 10 peratus. Kita kena mendidik diri mengurangkan apa juga perbelanjaan yang boleh dikurangkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Nadzim, masyarakat juga wajar mengambil langkah persediaan lebih awal dan tidak hanya bertindak selepas berdepan gangguan bekalan.
Katanya, walaupun saranan menyediakan bekalan untuk tiga hari sudah memadai sebagai persediaan asas, isi rumah boleh mempertimbangkan simpanan sehingga enam hari mengikut kemampuan masing-masing.
“Kalau tiga hari, kita buat persediaan enam hari. Kita perlu mendidik diri supaya sentiasa berhati-hati dan menjaga sumber yang ada sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata, bekalan asas yang perlu diberi keutamaan termasuk beras, minyak masak, sumber protein dan air minuman bagi memastikan keluarga tidak berdepan keadaan kehabisan makanan sekiranya berlaku gangguan bekalan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Nurhayati Khairatun berkata, tempoh penyimpanan makanan dalam peti sejuk dan penyejuk beku perlu diberi perhatian sekiranya berlaku gangguan elektrik.
Katanya, peti sejuk boleh mengekalkan suhu selamat selama kira-kira empat jam tanpa dibuka, manakala penyejuk beku yang penuh boleh mengekalkan suhu sejuk sehingga 48 jam tanpa dibuka.
Beliau berkata, orang ramai juga perlu berhati-hati dengan makanan yang terkena air banjir kerana air berkenaan berpotensi membawa pelbagai bahan pencemar, kuman, bakteria dan bahan kimia berbahaya.
“Keluarga boleh simpan air dengan menyimpan air bersih lebih awal, hanya menggunakan air botol yang belum dibuka dan hanya guna air yg tidak dicemar oleh air banjir.
“Masak air jika perlu untuk basmi kuman bawaan banjir,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan UPM, Dr. Muhammad Rezza Zainal Abidin berkata, persediaan menghadapi krisis perlu dibuat dengan memilih makanan yang tahan lama.
Antara bekalan yang sesuai termasuk beras, pasta, oat, biskut, kekacang, makanan dalam tin seperti sardin dan tuna.
Beliau berkata, pengguna juga perlu memastikan tin makanan tidak kemek, berkarat atau kembung sebelum dibeli dan digunakan.
Menurutnya, bekalan air minuman sekurang-kurangnya tiga liter bagi setiap individu sehari juga perlu disediakan sebagai panduan asas.
Katanya, penyimpanan stok makanan perlu dilakukan secara teratur dengan mengutamakan kaedah ‘masuk dahulu, guna dahulu’ bagi memastikan barangan yang dibeli lebih awal digunakan sebelum tamat tempoh.
“Pastikan tempat penyimpanan kering, bersih dan bebas daripada serangga atau perosak.
“Makanan mentah juga perlu diasingkan daripada makanan yang sudah dimasak bagi mengelakkan pencemaran silang,” katanya.
Beliau berkata, makanan yang sudah dimasak atau mudah rosak tidak seharusnya dibiarkan terlalu lama pada suhu bilik, manakala pintu peti sejuk perlu dielakkan daripada dibuka berulang kali ketika bekalan elektrik terputus.
Persediaan bekalan makanan, katanya, tidak bermaksud pengguna perlu membeli secara berlebihan sehingga menyebabkan pembaziran, sebaliknya stok perlu disesuaikan dengan keperluan keluarga, kemampuan kewangan dan tarikh luput makanan. – UTUSAN
Artikel oleh: Utusan Malaysia
JIMAT 10 PERATUS, BERSEDIA HADAPI KRISIS
https://www.utusan.com.my/berita/2026/11/jimat-10-peratus-bersedia-hadapi-krisis/