02 Nov
02Nov

PUCHONG: Kira-kira 40,000 ekor ayam yang disembelih dan diproses serta dipasarkan setiap hari oleh sebuah kilang penyembelihan dan pemprosesan ayam di Kampung Sri Aman Hilir di sini, diragui status halalnya.

Keraguan itu timbul selepas serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa yang mendapati pre­mis tersebut menggunakan kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik melebihi had ditetapkan pihak berwajib.

Kesemua ayam itu dikenakan renjatan elektrik berkuasa 130 volt sedangkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan penggunaan voltan bagi kae­dah itu dibawa 10 volt.

Keadaan itu menimbulkan persoalan serius daripada segi pematuhan hukum syarak apa­bila proses itu dikesan menye­babkan ayam mati sebelum disembelih.

Lebih mengejutkan premis berkenaan dipercayai telah beroperasi selama 10 tahun dan memproses kira-kira 40,000 ekor ayam yang kini diragui status halalnya setiap hari.

Pekerja-pekerja di premis yang telah beroperasi selama 10 tahun itu juga merupakan individu pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dipercayai tidak memiliki sebarang sijil perakuan bagi menyembelih haiwan.

Timbalan Pengarah (Gerakan/Operasi) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, restoran, pasar raya dan kedai runcit sekitar Lembah Klang merupakan antara penerima bekalan ayam-ayam berkenaan.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati terdapat proses pengendalian dan penyembelihan ayam yang menimbulkan keraguan serius terhadap pematuhan hukum syarak serta status halal produk ber­kenaan.

Jelasnya, perkara itu amat membimbangkan kerana kaedah penyembelihan merupakan antara aspek utama yang menentukan status halal sesuatu produk ayam.

“Pasaran bagi ayam-ayam ini meliputi kawasan sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Damansara, Puchong, Cheras dan Ba­ngi. Proses yang menyebabkan ayam mati sebelum disembelih menimbulkan persoalan serius dari segi pematuhan hukum syarak dan syarat pensijilan halal,” katanya semasa sidang akhbar selepas meninjau kilang berkenaan di sini semalam.

Tambah beliau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga difahamkan telah beberapa kali melakukan pemeriksaan serta mengeluarkan teguran kepada pihak pengurusan kilang berkenaan.

“Bagaimanapun, kilang ber­kenaan masih gagal mematuhi teguran yang diberikan khususnya berkaitan prosedur pe­ngendalian dan penyembelihan ayam yang ditetapkan,” ujarnya.

Susulan daripada itu, kata beliau, pemilik premis perniagaan yang merupakan warga tempatan berusia 30-an telah ditahan bagi diambil ketera­ngan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).Turut ditahan iaitu 12 lelaki warga asing yang bekerja di kilang itu.

Pada tengah malam Jumaat lalu, polis membongkar kegiatan penyembelihan ayam tanpa sijil halal sah selepas 6,555 kilogram (kg) ayam mentah yang dianggarkan bernilai RM85,400 dirampas.

Serbuan dan siasatan awal menerusi Op Taring Chiller itu mendapati premis berkenaan telah menjalankan kegiatan itu untuk tempoh yang panjang dengan bekalan ayam diperoleh daripada beberapa ladang sekitar Sungai Sepat, Sungai Pelek dan Sepang.

Sementara itu, Persatuan Pe­ngguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak supaya setiap pengusaha pusat penyembelihan ayam yang gagal mematuhi prosedur penyembelihan men­gikut hukum syarak perlu di­batalkan lesen operasinya se­lain disenarai hitam bagi me­ngelakkan kegiatan itu terus berulang.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan tegas itu juga penting bagi memastikan pengusaha tidak memandang ringan pematuhan syariah selain melin­dungi pengguna Islam daripada me­ngambil makanan yang diragui status halalnya.

“Pemeriksaan berkala oleh jabatan agama Islam negeri juga perlu dipertingkatkan terhadap semua pusat penyembelihan ayam di seluruh negara bagi memastikan setiap proses dilaksanakan mengikut ketetapan hukum syarak.

“Antara aspek yang perlu diberi perhatian serius adalah penggunaan renjatan elektrik dalam proses penyembelihan kerana arus yang terlalu kuat boleh menyebabkan ayam mati sebelum sempat disembelih,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, umat Islam yang pernah memakan ayam daripada premis berkenaan tanpa mengetahui status sebenar penyembelihannya supaya tidak berasa bersalah.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, seseorang yang termakan makanan haram tanpa pengetahuan dan tanpa unsur kese­ngajaan tidak menanggung dosa atas perbuatan tersebut.

“Oleh itu, mereka yang te­lah memakan ayam berkenaan dalam keadaan tidak mengetahui hakikat sebenar makanan tersebut tidak perlu melakukan sebarang kaffarah atau amalan khusus untuk menyucikan diri,” katanya ketika dihubungi semalam.-UTUSAN.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

40,000 AYAM DIRAGUI STATUS HALAL SETIAP HARI

https://www.utusan.com.my/berita/2026/11/40000-ayam-diragui-status-halal-setiap-hari/

Comments
* The email will not be published on the website.