02 Nov
02Nov

KUALA LUMPUR — Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menzahirkan kebimbangan mendalam serta bantahan tegas terhadap desas-desus kemungkinan penutupan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Tawau.

Langkah berkenaan, sekiranya dilaksanakan, bakal memberi tamparan hebat kepada akses pendidikan tinggi di kawasan Pantai Timur Sabah dan menjejaskan masa depan anak tempatan, terutamanya daripada keluarga golongan B40.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi menegaskan bahawa kewujudan UiTM Kampus Tawau sejak tahun 1996 bukan sekadar penawaran tempat pengajian, sebaliknya bertindak sebagai pemangkin mobiliti sosial dan pembuka peluang sosioekonomi kepada penduduk di Tawau, Lahad Datu, Kunak, serta Semporna.

"Pendidikan sepatutnya membuka peluang dan membela nasib rakyat, bukannya menjadi beban kewangan yang menghimpit keluarga kurang mampu. Sekiranya kampus ini ditutup, bagaimana anak-anak B40 di Pantai Timur Sabah mahu melanjutkan pengajian?

"Kos sara hidup, penginapan, dan harga tiket penerbangan ke Semenanjung Malaysia atau perjalanan ke Kota Kinabalu bukan murah.

"Jangan sampai disebabkan kekangan modal dan jarak, anak-anak tempatan terpaksa menguburkan hasrat menuntut ilmu. Pihak kementerian dan pengurusan UiTM perlu melihat isu ini daripada sudut kebajikan pengguna serta masyarakat dasar, bukannya sekadar pertimbangan angka atau pengurusan semata-mata," tegas beliau.

PPIM menekankan bahawa penutupan kampus ini hanya akan memindahkan beban kewangan yang besar kepada ibu bapa. Kehadiran UiTM Kampus Tawau membolehkan anak tempatan melanjutkan pengajian tanpa perlu berjauhan daripada keluarga atau menanggung kos sara hidup yang tinggi di luar daerah.

Cadangan untuk memindahkan pelajar ke UiTM Kota Kinabalu juga dilihat bukan penyelesaian praktikal memandangkan kapasiti asrama dan kemudahan sedia ada di sana adalah terhad serta tidak mampu menampung lambakan pertambahan pelajar baharu dari kawasan Pantai Timur Sabah.

Sehubungan itu, PPIM menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta pengurusan tertinggi UiTM untuk mengkaji semula dan membatalkan sebarang perancangan penutupan UiTM Kampus Tawau.

Pihak berkuasa sebaliknya perlu menaik taraf serta memperkukuh prasarana sedia ada, di samping mempertimbangkan penambahan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Pantai Timur Sabah bagi memastikan ekosistem pendidikan di wilayah berkenaan terus mampan dan inklusif.

Kerajaan serta pihak berkepentingan wajar mengutamakan masa depan generasi muda dan kebajikan rakyat sebelum membuat sebarang keputusan strategik.

Comments
* The email will not be published on the website.