
KUALA LUMPUR: Pemantauan berkala terhadap semua pusat penyembelihan di seluruh negara perlu dibuat secara konsisten oleh pihak berkuasa bagi mengekang penipuan dalam kalangan pembekal ayam kepada pengguna.
Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Zharif Johor, berkata tindakan penguatkuasaan perlu diambil serius tanpa kompromi kepada pesalah.
"Masalah ini sudah lama berlaku dan menjadi isu sejak puluhan tahun lalu. Justeru, kami mencadangkan beberapa langkah termasuk semua pusat sembelihan wajib mempunyai kumpulan penyembelih bertauliah.
"Jika tidak, pusat itu perlu dimasukkan dalam senarai pemantauan. Pusat penyembelihan juga perlu diwajibkan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi kawasan sembelihan supaya boleh disemak oleh audit dalaman dan pihak berkuasa apabila perlu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Zharif berkata, syarikat memegang status halal yang mengambil bekalan dari pihak tidak halal perlu disenaraihitamkan.
"Ini termasuk pengurusan tertinggi syarikat iaitu pengarah serta pegawai eksekutif yang perlu dikenakan denda maksimum dan potensi dipenjara.
"Amaran dan hukuman berat perlu dilaksanakan supaya pihak berkaitan mengambil serius mengenai status halal barangan yang dijual," katanya.
Sebagai pengguna, katanya, adalah sukar bagi untuk mereka menyemak sendiri rantaian pembekalan dan lazimnya memilih produk berdasarkan pengesahan daripada pihak berkuasa.
"Justeru itu, menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk membuat pemantauan dan penguatkuasaan serius tanpa kompromi kepada pengusaha," katanya.
Berdasarkan pengalamannya terbabit dalam industri itu, Zharif berkata, beliau pernah menjalankan perniagaan membekalkan ayam dengan menjadi penternak dan membuka pusat penyembelihan ayam.
"Dalam isu ini, ia membabitkan kejujuran dan integriti daripada kitaran itu sendiri. Sebagai contoh, saya sebagai pembekal memberikan sijil halal kepada sebuah kedai, namun kedai itu kemudian berhenti mengambil bekalan (daripadanya).
"Kedai itu kemudian menggunakan sijil halal saya di kedainya. Apabila pihak berkuasa melakukan pemeriksaan, mereka tunjuk sijil halal milik saya sedangkan bekalan bukan lagi daripada saya," katanya.
Menurutnya, kesedaran berkaitan isu halal bukan sahaja membabitkan pengguna tetapi peniaga yang terbabit dalam kitaran itu.
Katanya, keseluruhan kitaran ini perlu dilakukan dalam satu proses yang sangat tegas membabitkan sistem audit lebih mendalam dan mengadakan libat urus bagi pihak terbabit.
"Saya juga cadangkan supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah supaya mereka mengambil langkah berjaga-jaga," katanya.
Katanya, bukan semua pusat penyembelihan wajib mempunyai sijil halal kerana ia tidak hanya membabitkan proses sembelihan tetapi juga isu teknikal.
"Kadang-kadang ruang pengudaraan pun akan menyebabkan pusat penyembelihan tidak mendapat status halal.
"Jadi, syarat minimum pengiktirafan pusat penyembelihan sama ada halal atau tidak sekurang-kurangnya wajib mempunyai penyembelih bertauliah.
"Ia bagi membolehkan syarikat kecil yang tidak mampu untuk mendapatkan status halal disebabkan isu teknikal boleh membekalkan makanan halal walaupun tidak mempunyai sijil halal," katanya.
Terdahulu, media melaporkan lebih 6.5 tan ayam mentah disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan persijilan halal dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong, tengah malam kelmarin.
Artikel oleh: Berita Harian