21 Oct
21Oct

KUALA LUMPUR, 20 Oktober 2026 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa ibu bapa dan penjaga di seluruh negara untuk menangguhkan tandatangan Surat Aku Janji Kepatuhan Polisi Perlindungan Murid Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2026 sehingga satu penjelasan rasmi diberikan oleh pihak kementerian.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi menegaskan bahawa walaupun PPIM menyokong penuh usaha KPM melindungi murid daripada penderaan, keganasan, gangguan seksual dan eksploitasi, namun aspek perundangan dan ketelusan tidak boleh diabaikan.

"Kita menyokong perlindungan murid dan kesihatan awam. Tetapi setiap kewajipan yang dikenakan kerajaan mesti mempunyai asas undang-undang yang jelas," kata Nadzim Johan.

Beliau menambah bahawa borang aku janji setebal dua muka surat tersebut mengikat ibu bapa kepada Garis Panduan Polisi Perlindungan Murid Sekolah (GPPSS) setebal 402 muka surat tanpa akses yang jelas dan lengkap. Selain itu, terdapat kebimbangan berhubung klausa imunisasi di mana saranan kesihatan berisiko bertukar menjadi kewajipan pentadbiran tanpa akta khusus, sedangkan imunisasi secara amnya berasaskan persetujuan sukarela.

"Surat Aku Janji tidak boleh dengan sendirinya mencipta kesalahan atau hukuman baharu tanpa kuasa undang-undang," tegas Toqqi.

Nadzim turut membangkitkan isu pengakuan sehala kerana tiada pilihan opt-in/opt-out untuk mengecualikan klausa tertentu, selain ketiadaan punca kuasa yang jelas memandangkan polisi pentadbiran tidak boleh mengatasi undang-undang utama atau Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

"Guru, ibu bapa dan murid berhak mengetahui kewajipan sebenar mereka serta mendapat perlindungan daripada tindakan sewenang-wenangnya," kata Nadzim Johan.

Sehubungan itu, PPIM mengemukakan 10 soalan terbuka khusus kepada KPM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk jawapan segera:

  1. Sumber Kuasa: Apakah peruntukan undang-undang yang mewajibkan guru atau ibu bapa/penjaga menandatangani Surat Aku Janji Kepatuhan?
  2. Status Undang-Undang: Adakah kewajipan tersebut diperuntukkan dalam Akta Pendidikan 1996, peraturan berkaitan atau sekadar Surat Pekeliling Ikhtisas dan arahan pentadbiran?
  3. Akibat Keengganan: Apakah akibat undang-undang atau tatatertib sekiranya seseorang enggan menandatangani Aku Janji?
  4. Kewajipan Tambahan: Apakah kewajipan baharu yang diwujudkan melalui Aku Janji berbanding undang-undang dan peraturan sedia ada?
  5. Kesan Tandatangan: Adakah tandatangan bermaksud seseorang menerima semua kewajipan dan kemungkinan tindakan yang dinyatakan? Bolehkah tandatangan dibuat dengan reservasi hak?
  6. Asas Tindakan: Apakah peruntukan khusus yang membolehkan tindakan diambil terhadap seseorang yang didakwa melanggar Aku Janji?
  7. Kejelasan Istilah: Bagaimanakah istilah seperti "hubungan peribadi istimewa", "komunikasi rahsia" dan "sentuhan tidak perlu" ditakrifkan supaya tidak disalah tafsir?
  8. Perlindungan Pelapor: Apakah perlindungan kepada individu yang membuat laporan dengan suci hati berdasarkan syak munasabah, tetapi dakwaan kemudiannya tidak dapat dibuktikan?
  9. Keadilan Prosedur: Bagaimanakah KPM menjamin hak untuk didengar, membela diri, mendapatkan alasan keputusan dan membuat rayuan sebelum tindakan dikenakan?
  10. Klausa Imunisasi: Adakah peruntukan imunisasi dalam GPPSS 2026 suatu saranan atau kewajipan undang-undang? Apakah asas kuasanya dan bagaimana hak persetujuan termaklum serta keselamatan penerima dilindungi?

PPIM berharap KPM dan KKM dapat memberikan maklum balas yang telus demi memastikan hak serta keselamatan semua pihak—ibu bapa, guru, dan murid—terjamin mengikut lunas undang-undang.

"Niat yang baik tidak menjadikan sesuatu mekanisme pentadbiran sah, adil dan berkadar secara automatik," ujar Nadzim Johan.

"Sebarang perlindungan terhadap murid mesti disertakan dengan keadilan prosedur serta perlindungan yang adil untuk semua pihak," tambah beliau lagi.

"Ibu bapa dinasihatkan agar bertenang dan menunggu maklum balas serta ketetapan rasmi sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut," jelas Nadzim Johan.

Comments
* The email will not be published on the website.