17 Oct
17Oct

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ancaman penipuan dalam talian atau scam yang semakin licik dengan penggunaan teknologi serta helah psikologi bagi memperdaya mangsa.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan atau lebih dikenali sebagai Toqqi berkata, penjenayah siber kini tidak lagi memilih mangsa, sebaliknya menyasarkan sesiapa sahaja tanpa mengira usia, pekerjaan mahupun tahap pendidikan.

Menurutnya, taktik penipuan yang semakin kompleks menyebabkan masyarakat berisiko kehilangan wang simpanan dalam sekelip mata sekiranya tidak mempunyai pengetahuan dan kesedaran mengenai keselamatan digital.

Hari ini, penjenayah scam tidak lagi memilih mangsa. Mereka bijak memanfaatkan kemajuan teknologi dan memanipulasi emosi serta psikologi rakyat untuk mencuri wang simpanan yang dikumpul bertahun-tahun.

"Hakikatnya, sesiapa sahaja boleh terperangkap sekiranya tidak mempunyai pengetahuan asas dan sifat waspada yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, PPIM dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) menganjurkan Bengkel Anti-Scam Internet Selamat (BASIS) Siri 1.

Bengkel berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat melalui pendedahan praktikal mengenai taktik penipuan digital, kaedah mengesan cubaan scam serta tindakan segera yang perlu diambil apabila berdepan ancaman tersebut.

Antara pengisian utama bengkel ialah mengenal pasti modus operandi penjenayah, termasuk helah psikologi yang digunakan untuk memanipulasi emosi mangsa sehingga mereka sanggup menyerahkan wang atau maklumat peribadi.

Peserta turut didedahkan kepada penggunaan platform dan aplikasi semakan anti-scam bagi memeriksa nombor telefon serta akaun bank yang mencurigakan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

Selain itu, bengkel tersebut memberi penekanan terhadap langkah pencegahan dan tindakan kecemasan yang perlu dilakukan sekiranya seseorang menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Nadzim menegaskan masyarakat tidak seharusnya menunggu sehingga kehilangan wang simpanan sebelum mengambil langkah melindungi diri daripada ancaman jenayah siber.

"Kita tidak boleh lagi mengamalkan sikap 'sudah hantuk baru ngadah'.

Jangan tunggu wang simpanan lesap dalam sekelip mata baru kita mahu belajar mempertahankan diri.

"Prinsip kita cukup mudah – Sedar, Semak dan Bertindak Sebelum Kena," tegasnya.

Beliau berkata, pengetahuan mengenai keselamatan digital bukan sahaja penting untuk melindungi individu, malah mampu membantu menyelamatkan ahli keluarga, rakan sekerja dan masyarakat daripada menjadi mangsa seterusnya.

Justeru, PPIM menyeru seluruh lapisan masyarakat mengambil peluang menyertai bengkel BASIS sebagai langkah memperkukuh pengetahuan dan kemahiran mempertahankan diri daripada ancaman penipuan kewangan digital.

"Sedar, Semak dan Bertindak Sebelum Kena" menjadi mesej utama inisiatif berkenaan bagi membudayakan sikap berwaspada sebelum membuat sebarang keputusan atau transaksi dalam talian.

Artikel oleh: Harapan Daily

ANCAMAN SCAM SEMAKIN LICIK, PPIM DAN MCMC ANJUR BENGKEL DIDIK MASYARAKAT ELAH KADI MANGSA

https://www.facebook.com/share/p/1K59WmJBSZ/

Comments
* The email will not be published on the website.