16 Oct
16Oct

KUALA LUMPUR – Penjenayah penipuan dalam talian (scam) semakin licik apabila menggunakan taktik manipulasi emosi dan psikologi untuk memperdaya mangsa, sekali gus menjadikan sesiapa sahaja berisiko kehilangan wang simpanan tanpa mengira usia, pekerjaan atau tahap pendidikan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, masyarakat tidak boleh lagi mengambil sikap sambil lewa terhadap ancaman jenayah digital yang semakin kompleks.

Beliau berkata, pengetahuan asas mengenai keselamatan digital dan sikap berwaspada amat penting bagi mengelakkan orang ramai terjerat dengan pelbagai helah penjenayah.

“Hari ini, penjenayah scam tidak lagi memilih mangsa. Mereka bijak memanfaatkan kemajuan teknologi dan memanipulasi emosi serta psikologi rakyat untuk mencuri wang simpanan yang dikumpul bertahun-tahun.

“Hakikatnya, sesiapa sahaja boleh terperangkap sekiranya tidak mempunyai pengetahuan asas dan sifat waspada yang tinggi,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut Nadzim, masyarakat perlu mengubah sikap dengan mengambil langkah pencegahan lebih awal, bukannya hanya mencari jalan penyelesaian selepas mengalami kerugian.

“Kita tidak boleh lagi mengamalkan sikap ‘sudah hantuk baru ngadah’. Jangan tunggu wang simpanan lesap dalam sekelip mata baru kita mahu belajar mempertahankan diri.

“Prinsip kita cukup mudah iaitu sedar, semak dan bertindak sebelum kena,” katanya.
Sehubungan itu, PPIM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) menganjurkan Bengkel AntiScam Internet Selamat (BASIS) Siri 1 bagi meningkatkan kesedaran dan kemahiran masyarakat dalam menghadapi ancaman berkenaan.

“Bengkel itu dirangka untuk memberikan pendedahan praktikal kepada orang ramai, khususnya dalam mengenal pasti modus operandi terkini penipuan dalam talian serta helah psikologi yang digunakan untuk memperdaya mangsa.

“Peserta turut didedahkan kepada penggunaan platform dan aplikasi semakan antiscam bagi memeriksa nombor telefon atau akaun bank sebelum melakukan sebarang transaksi,” katanya.

“Bengkel ini memberi penekanan terhadap langkah pencegahan dan tindakan segera yang perlu diambil, termasuk saluran betul untuk mendapatkan bantuan sekiranya seseorang terperangkap atau menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Katanya lagi, ilmu pertahanan diri digital bukan sekadar untuk melindungi wang dan keselamatan diri, malah penting bagi mengelakkan ahli keluarga, rakan sekerja serta komuniti sekeliling daripada menjadi mangsa seterusnya.

“Justeru, PPIM menyeru masyarakat daripada semua lapisan untuk mengambil peluang menyertai program berkenaan dan melengkapkan diri dengan pengetahuan bagi melindungi kewangan serta keselamatan digital masing-masing,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette
SCAM DIGITAL SEMAKIN LICIK, JANGAN TUNGGU DUIT LESAP BARU BERTINDAK

https://malaysiagazette.com/2026/10/13/scam-digital-semakin-licik-jangan-tunggu-duit-lesap-baru-bertindak/#google_vignette

Comments
* The email will not be published on the website.