
KUALA LUMPUR: Hukuman lebih berat termasuk sebatan, pelucutan harta dan tindakan mengikut Akta Langkah-Langkah Keselamatan Khas 2012 (SOSMA) perlu dipertimbang terhadap penjenayah penipuan dalam talian.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, berkata langkah itu bagi memastikan hukuman dikenakan setimpal dengan kerugian dialami mangsa.
"Ketika ini, hukuman dikenakan agak ringan iaitu denda RM3,000, sedangkan penipuan dilakukan membabitkan jutaan ringgit.
"Ribuan mangsa membuat aduan kepada PPIM dan ada yang mendakwa kerugian sehingga RM500,000 diperdaya sindiket penipuan dalam talian," katanya pada Bengkel Anti-Scam Internet Selamat (BASIS) Siri 1, di sini hari ini.
Menurutnya, cadangan hukuman itu perlu dibawa kepada penggubal undang-undang untuk diteliti bagi memperkukuh tindakan terhadap pelaku jenayah berkenaan.
Beliau berkata, ancaman jenayah penipuan dalam talian semakin membimbangkan apabila penjenayah menggunakan taktik penipuan dan helah psikologi yang dirancang untuk memperdaya mangsa.
"Mereka boleh menyasarkan sesiapa sahaja tanpa mengira usia atau latar belakang. Anak saya turut menjadi mangsa penipuan sebelum pelaku berjaya dikesan dan ditangkap selepas usaha menjejakinya selama setahun empat bulan.
"Usaha mendidik masyarakat perlu dilakukan secara berterusan kerana penjenayah sentiasa mengubah taktik bagi memperdaya mangsa," katanya.
Nadzim berkata, bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa, PPIM menganjurkan bengkel berkenaan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Artikel oleh: Berita Harian
SYOR SEBAT, LUCUT HARTA PENJENAYAH PENIPUAN DALAM TALIAN PPIM