
Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menubuhkan Unit Anti-Scam di bawah Gerakan Rakyat Prihatin bagi membantu memperkukuhkan perlindungan dan pembelaan terhadap mangsa penipuan digital.
Penubuhan unit itu bertujuan menyediakan mekanisme lebih tersusun untuk menerima aduan, mengumpul maklumat, meneliti kes serta membantu mangsa menyusun bukti sebelum menyalurkan laporan kepada pihak berkuasa dan agensi berkaitan.
PPIM menerusi kenyataan berkata, seiring penubuhan unit itu, pihaknya turut memperkenalkan peranan Pegawai Penyiasat Scam Digital bagi membantu penelitian awal dan dokumentasi kes penipuan digital.
Katanya, pegawai terbabit akan membantu menyusun kronologi kes, meneliti maklumat dan bukti yang dikemukakan mangsa, mengenal pasti elemen penipuan serta modus operandi yang digunakan.
"Bagaimanapun, PPIM menegaskan peranan itu bukan untuk mengambil alih tugas penyiasatan rasmi pihak berkuasa.
"Sebaliknya, ia berfungsi sebagai mekanisme bantuan dan advokasi bagi memastikan maklumat serta bukti mangsa dapat disusun dengan lebih sistematik sebelum tindakan susulan diambil melalui saluran yang sah," katanya.
Kenyataan itu menjelaskan Unit Anti-Scam PPIM juga akan menerima dan merekodkan aduan berkaitan penipuan digital, membantu mangsa menyediakan kronologi kejadian dan dokumentasi, selain mengenal pasti corak serta modus operandi scam yang dilaporkan.
Pada masa sama, unit itu akan membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai ancaman penipuan, termasuk manipulasi psikologi, penyamaran identiti dan penipuan transaksi digital.
Katanya, maklumat berkaitan trend serta pola aduan turut dikumpulkan bagi tujuan pendidikan dan advokasi pengguna.
PPIM berkata usaha membanteras scam tidak boleh dipikul oleh mangsa atau pihak penguat kuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama seluruh ekosistem.
"Ia membabitkan pengguna, keluarga, komuniti, institusi kewangan, penyedia platform digital, agensi kerajaan, pihak penguat kuasa dan organisasi masyarakat sivil," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
UNIT ANTI -SCAM PPIM BANTU MANGSA KUMPUL BUKTI, SALUR LAPORAN