
Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong penuh cadangan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail, supaya kerajaan segera meminda undang-undang lapuk dan mengenakan hukuman lebih berat termasuk sebat serta penjara lebih lama terhadap penjenayah penipuan dalam talian (scammer).
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, langkah drastik itu amat perlu bagi membendung sindiket penipuan siber yang semakin berleluasa sehingga menyebabkan rakyat mengalami kerugian kewangan yang besar setiap hari.
Menurut Nadzim, undang-undang negara perlu dikemas kini seiring dengan kecanggihan taktik penjenayah kerana hukuman sedia ada dilihat terlalu ringan dan gagal memberi kesan pencegahan yang berkesan kepada dalang sindiket.
"Masyarakat tidak boleh terus berdiam diri melihat mangsa terus teraniaya manakala penjenayah hidup selesa tanpa rasa takut.
"PPIM menyokong penuh usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa cadangan pindaan akta berkaitan ke peringkat kementerian agar hukuman yang lebih berat dapat digubal segera," katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Nadzim berkata, PPIM turut menyokong cadangan mengenakan hukuman sebat dan penjara maksimum terhadap sindiket scammer memandangkan jenayah kolar putih itu merosakkan kesejahteraan hidup rakyat.
Selain itu, PPIM mengesyorkan tindakan tegas diambil di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) untuk membekukan dan merampas segala harta serta aset haram dikumpul sindiket terbabit.
Pada masa sama, PPIM menggesa kerajaan memperketat kawalan institusi kewangan dan platform digital bagi memotong rantaian operasi penipuan dalam talian secara menyeluruh.
Beliau menyeru agar semua pihak termasuk pihak berkuasa, penggubal undang-undang dan rakyat bersatu hati mendesak hukuman maksimum dikenakan terhadap scammer.
Artikel oleh: Harian Metro
PPIM SOKONG HUKUMAN SEBAT, PENJARA LEBIH LAMA TERHADAP SCAMMER