
Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantah cadangan membawa masuk semula ternakan babi hidup melalui Pelabuhan Klang.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, pengendalian haiwan itu di kawasan terbuka mencetus risiko pencemaran alam sekitar serta menyentuh sensitiviti pekerja pelabuhan beragama Islam.
Menurutnya, sebarang aktiviti pengendalian ternakan hidup perlu mematuhi piawaian sanitasi dan kawalan pencemaran yang ketat bagi mengelakkan kesan terhadap alam sekitar serta masyarakat sekitar.
"PPIM difahamkan, aduan berkaitan pengendalian babi hidup di pelabuhan pernah dikemukakan kepada pihak berkuasa dan agensi berkaitan, namun tiada tindakan konkrit diambil sehingga kini.
"Antara perkara yang membimbangkan ialah dakwaan pelepasan air kumbahan dan sisa buangan daripada aktiviti pemindahan haiwan terus ke laut yang berisiko mencemarkan ekosistem perairan sekitar pelabuhan.
"Selain itu, laluan dan kemudahan yang digunakan untuk mengendalikan ternakan berkenaan perlu diberi perhatian kerana fasiliti sama turut digunakan dalam urusan pengendalian barangan lain, termasuk produk makanan," katanya dalam kenyataan tadi.
Nadzim berkata, pihaknya bimbang sekiranya kemudahan terbabit tidak melalui proses penyucian atau samak mengikut keperluan syariah selepas pengendalian babi, ia boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan pengguna Islam.
"Pengalaman pengimportan babi hidup dari Sarawak sebelum ini turut dikaitkan dengan masalah bau, kebersihan dan ketidakselesaan yang berpanjangan.
"Justeru, kami mempersoalkan kewajaran membawa masuk haiwan hidup dari Sarawak sedangkan bekalan daging babi sejuk segar dari Thailand sudah dibenarkan masuk secara berterusan.
"Jika bekalan dari Sarawak masih diperlukan, PPIM mencadangkan ia diimport dalam bentuk daging yang sudah diproses atau sejuk beku kerana lebih bersih, teratur dan mudah dikawal," katanya.
Dalam pada itu, Nadzim memohon Kerajaan Negeri Selangor supaya meneliti semula kewajaran operasi rumah sembelih babi di Rawang, sejajar dengan langkah penutupan ladang babi di seluruh Selangor yang dijadualkan selesai pada Julai 2026.
"Pihak berkuasa agama negeri, Kerajaan Negeri Selangor dan Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan isu berkenaan tidak menjejaskan kebersihan awam serta keharmonian masyarakat.
"PPIM mendesak supaya sebarang usaha atau kebenaran membawa masuk babi hidup menerusi pelabuhan di Selangor dihentikan serta-merta.
"Pada masa sama, proses penyucian atau samak mengikut syariah perlu diwajibkan terhadap mana-mana fasiliti yang terjejas bagi memastikan status halal rantaian bekalan awam terus terpelihara," katanya.
Terdahulu, kecoh di media sosial sekumpulan individu mendakwa terdiri daripada kakitangan Pelabuhan Klang serta penduduk sekitar menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan mengimport semula babi hidup dari Sarawak melalui pelabuhan terbabit.
Artikel oleh: Harian Metro
PPIM BANTAH CADANGAN IMPORT BABI HIDUP MENERUSI PELABUHAN KLANG