
Kuala Lumpur: Pelbagai pihak berkepentingan digesa tampil membantu dua beradik istimewa penjual cendol yang tular di media sosial.
Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor berkata, segala bentuk bantuan yang disalurkan diharap dapat membantu Nik Haznita Saffiya Nik Husmadi, 20, mengembangkan perniagaan cendol yang diusahakan bersama keluarga.
Menurutnya, Nik Haziera Saffiya, 18, pula wajar diberi peluang untuk terus mengembangkan minat dalam bidang sukan.
"Saya harap selepas ini ada ruang untuk mereka dan mungkin tidak lagi berniaga di tepi jalan jika ada tempat yang lebih baik. Bukan sahaja berniaga cendol, mungkin perniagaannya boleh diperluaskan lagi kerana di situlah sumber rezeki keluarga mereka.
"Sebenarnya, ruang itu ada terutama dalam sektor keusahawanan dan untuk adiknya pula juga akan ada peluang. Insya-Allah untuk bantuan kita usahakan," katanya dalam sidang media sesi liputan eksklusif bersama dua beradik peniaga cendol yang tular di Kondominium Villa Puteri, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, Pemilik rangkaian Restoran Ali Maju Sdn Bhd, Datuk Dr Jawahar Ali Taib Khan dan pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.
Dalam pada itu, Salamiah berkata, terdapat pelbagai ruang khususnya menerusi program keusahawanan yang boleh dimanfaatkan bagi membantu keluarga terbabit.
Beliau turut berharap sokongan pelbagai pihak dapat membuka lebih banyak peluang kepada adik beradik berkenaan untuk membina masa depan yang lebih baik.
"Saya berharap segala urusan mereka dipermudahkan dan memperoleh rezeki yang lebih baik," katanya.
Kegigihan Nik Haznita Saffiya dan Nik Haziera Saffiya yang kehilangan sebelah kaki akibat kemalangan dari Kampung Seri Lebak, Temerloh, Pahang itu meraih perhatian dan memberi inspirasi kepada orang ramai selepas video mereka berniaga tular di media sosial.
Mereka sudah mengusahakan perniagaan itu sejak 2023, namun terpaksa berhenti seketika selepas terbabit dalam kemalangan sebelum kembali berniaga kira-kira sebulan lalu. Dalam kejadian pada Februari 2024, motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan lori sehingga mereka mengalami kecederaan parah dan sebelah kaki masing-masing terpaksa dipotong.
Artikel oleh: Harian Metro
PELBAGAI PIHAK DIGESA BANTU DUA BERADIK PENIAGA CENDOL, BINA MASA DEPAN LEBIH BAIK